Tempatan

Etnik Melayu Berdepan Penjajahan Perantau – Dr Teo Kok Seong

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 12 November 2021 – “Sebenarnya atas sifat baik hati etnik Melayu, sungguh banyak konsesi telah mereka berikan kepada etnik Cina khususnya sepanjang mereka mula bermastautin di sini,” kata Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong seperti dilaporkan sebuah portal tempatan.

“Namun, atas sikap rakus yang tidak habis-habis itu, etnik Cina selalu mahu memperoleh apa-apa sahaja lebih daripada yang sepatutnya.”

Ujar Felo Majlis Profesor Negara itu, ini dapat dilihat pada banyak tuntutan daripada mereka ini yang tanpa segan silu mahukan apa-apa sahaja dibahagikan secara begitu. Sikap begini tidak ubah penjajahan perantau yang mahu mengaburi garis pemisah antara penduduk asal dengan puak bukan asal dalam semua perkara. Antaranya termasuklah identiti dan kedaulatan negara.

“Ini dapat dilihat apabila puak bukan asal yang bermastautin di sini, cuba menegaskan naratif atas dalil kepelbagaian bahawa struktur negara ini tidak harus memihak kepada etnik Melayu sahaja. Sebaliknya ia hendaklah kosmopolitan, yakni pelbagai pada segala sisi dan pada kadar sama rata pula,” kata Dr Teo.

Menurut beliau lagi, malang sekali setelah enam dasawarsa pembentukan negara bangsa, negara ini masih gagal melahirkan warganegara yang mempunyai kesedaran nasional, iaitu perkongsian pemahaman kenegaraan yang sama tentang sejarah dan asas pembinaan negara, yakni ia memang bertuan. Ini hendaklah diiktiraf untuk dihargai dan bukan sebaliknya oleh puak bukan asal.

“Sebenarnya ihsan etnik Melayu kepada etnik bukan Melayu banyak sekali, namun ia langsung tidak mahu dihargai sesetengah pihak. Ini kerana dengan adanya penyanjungan, etnik Melayu diiktiraf sebagai penduduk asal, justeru pemilik negara ini. Bagi mereka, negara ini sama-sama diterokai pelbagai pihak sebagai perantau termasuklah etnik Melayu sendiri. Justeru, dasar kesamarataan harus diamalkan dalam segenap hal,” ujar Dr Teo yang juga merupakan Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Tambah beliau, etnik Melayu sebenarnya amat menyedari kerakusan ini. Akan tetapi sebagai kelompok baik hati, mereka bukan sahaja selalu bertimbang rasa, mereka juga cuba memenuhi seadanya kehendak tetamu yang bertandang.

Bagaimanapun, sifat baik etnik Melayu ini dianggap sebagai kelemahan, malah kebodohan dan selalu mahu dieksploitasi secukup-cukupnya oleh etnik Cina untuk keuntungan mereka. Ini bukan langsung tidak disedari oleh etnik Melayu. Tetapi budaya mereka yang tidak suka berkonfrontasi secara terbuka dan tetap terus-terusan membuat baik walaupun menyedari dikhianati, diambil kesempatan oleh etnik Cina dari segenap segi.

“Namun, semua ini ada hadnya dan kes mencabar di mahkamah ini adalah antara batasnya. Ini kerana ia sudah banyak sekali melampaui enggatnya,” tegas Dr Teo.

Kenyataan beliau ini merujuk kepada isu permintaan Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan agar kerajaan mempertimbangkan keperluan untuk meminda peruntukan Perlembagaan bagi memperjelaskan dan menegaskan kedudukan sekolah vernakular.

Ia bagi mengelakkan kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di bawah Perlembagaan terus dicabar.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: