Empangan Mula Merosot, 1 Berada Di Tahap Kritikal
KUALA LUMPUR, 27 Jun 2023 – Tujuh daripada 43 empangan merekodkan penyusutan stok simpanan air mentah di tahap amaran dan berjaga-jaga, manakala satu dalam keadaan kritikal susulan Monsun Barat Daya yang melanda negara sejak 15 Mei lalu.
Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Empangan Muda di Kedah menunjukkan paras simpanan air berada pada paras kritikal iaitu 29.92 peratus minggu ini berbanding 32.87 peratus minggu lalu.
BACA JUGA: Gurauan Minta No Telefon Pelajar Perempuan, PMX Ditegur Tokoh Media
BACA JUGA: Klinik Online KKM: PERDIM Bimbang Berlaku Kebanjiran Doktor Palsu
BACA JUGA: Pajak Gadai Berlesen Dilarang Jual Semua Emas Gadaian
Selain itu, lima empangan lain di utara Semenanjung turut menunjukkan baki stok simpanan air pada paras amaran iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis (45.65 peratus); Empangan Malut, Kedah (46.70 peratus), Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang (44.5 peratus), Empangan Air Hitam, Pulau Pinang (53.5 peratus) dan Empangan Bukit Merah, Perak (53.84 peratus).
Empangan Sembrong Barat di Johor juga berada di tahap berjaga-jaga iaitu 46.66 peratus.
Sementara itu, tiga loji rawatan air (LRA) juga terkesan dengan paras air di muka sauk dan merekodkan bacaan pada tahap berjaga-jaga.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan keadaan cuaca panas sebegini akan menyebabkan masalah gangguan bekalan air di Kedah (Sik, Baling, Kulim), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara), Melaka (Alor Gajah, Melaka Tengah), Kelantan (Kuala Krai, Gua Musang, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas) dan Sarawak (Bintulu).