Tempatan

Empangan Hidroelektrik TNB Sedia Takung Air Musim Tengkujuh

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 30 November 2022 – Tiga skim empangan hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersedia berperanan sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

Skim empangan hidroelektrik yang dimaksudkan ialah Skim Hidroelektrik Kenyir, Skim Hidroelektrik Sungai Perak dan Skim Hidroelektrik Cameron Highlands.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti berkata, paras air di ketiga-tiga skim empangan hidroelektrik tersebut telah diturunkan sejak Julai, sebagai persediaan menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh tahun ini.

Jelasnya, persediaan yang dilakukan termasuk pengurusan paras air empangan melalui pelepasan terkawal dan pemeriksaan menyeluruh di stesen-stesen janakuasa.

Menurutnya, paras air tasik telah diturunkan secara terancang ke paras minima sebelum bermulanya musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilakukan dengan mengoptimumkan penggunaan air secara sasaran drawdown.

“Pelan persediaan banjir secara menyeluruh telah dilaksanakan selaras dengan pendekatan Syarikat dalam mempertingkatkan komitmen dalam usaha berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam memacu perjalanan peralihan tenaga bertanggungjawab.”

Nor Azman turut memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai ramalan kaji cuaca dan taburan hujan sebenar.

Selain itu, mereka juga menjalankan latihan pengungsian dan melaksanakan ujian tahap ketersediaan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Katanya, TNB Genco memberi jaminan kesemua empangan hidroelektrik milik syarikat utiliti itu berada dalam keadaan baik dan selamat.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: