Elon Musk Mahu Beli Manchester United Pula
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AMERIKA SYARIKAT, 17 Ogos 2022 – “Juga, saya membeli Manchester United, sama-sama.”
Berikut bunyi ciapan individu terkaya dunia, Elon Musk, yang menggegarkan media sosial hari ini.
Terdahulu, Elon pernah menggemparkan ramai dengan hasratnya yang mahu membeli Twitter Inc. sebelum membatalkan perjanjian bernilai $44 bilion itu.
Saham Twitter naik kepada AS$51.70 (RM229) seunit pada April lalu apabila Musk mengumumkan hasratnya mahu membeli syarikat itu.
Namun, harganya jatuh kepada AS$35.76 (RM158) seunit sebulan selepas itu apabila komitmen Musk mula dipertikaikan dan jatuh lagi kepada AS$37 (RM164) seunit.
Perkara yang sama juga sedang berlaku dengan saham Manchester United Ltd. yang ketika ini terus menunjukkan peningkatan, beberapa jam selepas Elon Musk berkongsi ciapan kenyataannya itu.
Tinjauan samudera.my di laman komen Twitter Elon Musk mendapati ramai pengguna media sosial yang tidak mempercayai ciapan tersebut. Malah, ada pengguna media sosial yang membuat soalan kaji selidik bertanyakan sama ada pengguna percaya atau tidak Elon Musk akan membeli Manchester United.
“Adakah anda benar-benar fikir dia akan membelinya? Atau hanya merepek?” kata @MufcEast.
“Beli yang sebenar-benarnya beli? Atau dengan cara sama anda membeli Twitter? Jujurnya, dalam apa cara sekalipun peminat Man U mungkin akan gembira,” kata @crk_NFT_.
Namun, beberapa jam selepas itu, Elon Musk menyatakan bahawa ciapannya itu adalah satu jenaka.
“Tak, ini adalah long-running joke di Twitter. Saya tak beli mana-mana pasukan sukan,” katanya dalam ciapan terbaru sebentar tadi yang masih belum merungkai niat sebenar bapa kepada 10 orang anak itu seperti yang dilaporkan pagesix.com pada Julai lepas.