Elak “Pengaruh Buruk”, Hungary Bakal Perkenal “RUU Kedaulatan Negara”
HUNGARY, 16 November 2023 – Parti pemerintah Hungary, Fidesz akan memperkenalkan sebuah bil undang-undang baharu yang akan menyaksikan penubuhan sebuah jabatan khas dalam memerhatikan sebarang aktiviti yang “menggugat kedaulatan negara”.
Jabatan baharu tersebut akan menjalankan tugas memerhatikan aliran dana asing terhadap parti-parti politik, media serta organisasi-organisasi awam yang digunakan untuk memberi pengaruh atau manipulasi terhadap pentadbiran ataupun pengurusan kewangan sebagaimana yang telah dilakukan oleh individu seperti George Soros.
Ketua pegawai Perdana Menteri, Gergely Gulyas sebelum ini telah menolak untuk memberikan sebarang perincian mengenai bil baharu tersebut. Beliau sekadar menyatakan,
“..dapat menjalankan penyiasatan kesemua jenis aktiviti…yang boleh menjejaskan kedaulatan negara”.
Rancangan untuk mewujudkan jabatan baharu itu sudahpun diumumkan pada September lalu, di mana ahli parti pemerintah menyatakan bahawa undang-undang tersebut dapat dikenakan terhadap “para wartawan berhaluan kiri, organisasi-organisasi yang bertopengkan organisasi sivil” dan parti-parti politik.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Hungary Viktor Orban telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat pihak-pihak asing sedang memanipulasikan keadaan masyarakat Hungary menerusi kumpulan-kumpulan sivil serta media yang “dibiayai menerusi jaringan Soros”. Ujarnya lagi,
“Mereka telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka mahukan perubahan terhadap pentadbiran Hungary”.