Tempatan

Elak Kes Dera, SUHAKAM Cadang Tubuh Jabatan Khas Kanak-Kanak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 29 Disember 2022 – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mencadangkan penubuhan jabatan khas kanak-kanak bagi mengelakkan kes penderaan dan pengabaian berlaku.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, terdapat kira-kira enam kementerian ditubuhkan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak, namun tiada satu pun institusi khas ditubuhkan untuk mereka dalam kementerian berkenaan.

Malaysia pula mencatatkan populasi seramai 9.7 juta kanak-kanak dan jumlah tersebut tidak sesuai untuk dijaga oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang juga bertanggungjawab menjaga Orang Kurang Upaya (OKU) dan mangsa banjir.

“JKM itu sendiri menjaga OKU (orang kurang upaya), mangsa banjir, akhirnya bahagian kanak-kanak itu di mana? Unit kanak-kanak di kementerian itu ada berapa orang? Itu tidak mencukupi.”

Jelas beliau, “Kita perlukan bahagian kanak-kanak yang ada 300 ke 400 pegawai pelindung. Di negeri dan daerah pun, pegawai dia sekejap pakai topi (berkhidmat) pegawai pelindung, sekejap pakai topi pegawai akhlak.”

Lantaran itu, beliau mengharapkan Kerajaan serius dalam menawarkan perlindungan buat golongan ini dan menjaga kepentingan mereka dengan penubuhan jabatan khas.

Mengulas lanjut, Noor Aziah juga menyarankan satu talian khas untuk golongan kanak-kanak diwujudkan bagi memudahkan mereka menghubungi dan meluahkan perasaan terutamanya apabila melibatkan kes penderaan dan pengabaian.

“Kita perlukan satu talian khas supaya kanak-kanak sendiri boleh buat laporan. Mesti ada pakar yang boleh berbual dengan mereka sebab kita ada kes mental stress kalangan mereka. Sekurang-kurangnya pakar itu boleh beri ketenangan kepada mereka,” katanya.

“Kita perlu ambil kes ini secara serius bagi mengelak kes penderaan berlaku. Kita perlu menambah baik sistem yang ada,” tambah beliau.

Dalam enam bulan pertama tahun ini sahaja, JKM telah mencatatkan sebanyak 1,055 kes penderaan melibatkan kanak-kanak di seluruh negara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: