Tempatan

Elak Gulung Tikar, PPIM Gesa Kaji Semula Had Waktu Jualan Makanan

KUALA LUMPUR – “Kebanyakan restoran mengadu sejak PKP 2.0 diumumkan beberapa hari lalu, jualan mereka meleset sehingga 70-80 peratus.”

“Ada juga peniaga yang mula bangkit dari kesan PKP 1.0 dulu, kini terpaksa menimbang untuk gulung tikar jika had masa beroperasi ini berterusan.”

Ini antara luahan diterima oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dari para peniaga makanan selepas kerajaan mengehadkan masa perniagaan sehingga jam 8 malam sahaja.

Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, peniaga-peniaga makanan khususnya yang berniaga sebelah petang dan malam merasakan tidak berbaloi untuk membuka perniagaan apabila terpaksa menutup kembali pada jam 7.30 malam.

“Para peniaga khususnya yang berniaga pada sebelah lewat petang dan malam merasakan adalah tidak berbaloi untuk memulakan perniagaan pada jam 5 petang dan terpaksa tutup pula pada jam 7:30 malam.”

Tambah Datuk Nadzim Johan lagi, had masa operasi ini bukan sahaja menjejaskan peniaga, tetapi juga menyukarkan pelanggan yang memesan makanan.

“Kebanyakan mereka terutama yang bekerja sehingga jam 8 malam mendakwa bahawa adalah amat sukar untuk membeli atau memesan pada waktu yang awal dan menjelang lewat petang kerana kebanyakan pusat-pusat makanan dan penghantar makanan tidak lagi mampu untuk mengambil apa-apa pesanan lagi.”

Justeru, demi kemaslahatan semua, PPIM mencadangkan agar kerajaan melanjutkan waktu operasi sehingga jam 10 malam.

“Oleh yang demikian, PPIM mendesak agar pihak berkuasa mengkaji semua tindakan menghadkan penjualan makanan ke waktu yang lebih munasabah. Kami mencadangkan agar waktu operasi itu dilanjutkan sehingga jam 10 malam.”

“PPIM berharap pihak berkuasa memberikan pertimbangan yang wajar dan adil terhadap rungutan-rungutan ini untuk keselesaan rakyat dengan mengambil kira juga kemaslahatan golongan peniaga-peniaga makanan yang selama ini memainkan peranan yang penting dalam merangsang dan penggerak perkembangan ekonomi negara.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button