Elak Autotarianisme, PM Digesa Usah Guna Polis Tangani Fitnah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 30 November 2022 – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa untuk tidak menggunakan pihak polis bagi menangani kenyataan fitnah terhadapnya bagi mengelakkan berlakunya autoritarianisme, lapor sebuah berita tempatan.
“Adalah tidak boleh diterima Kerajaan baru, yang menjanjikan pembaharuan, dengan pantas meminta tindakan polis terhadap pengkritik perdana menteri,” tegas Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek dalam sebuah kenyataan.
Beliau berkata, Perdana Menteri tidak mempunyai status istimewa di sisi undang-undang dan tidak boleh mengarahkan pihak polis bagi mempertahankan reputasinya.
“Adalah satu penyalahgunaan kuasa bagi Perdana Menteri untuk mengarahkan siasatan polis terhadap orang yang membuat tuduhan terhadapnya, kerana dia adalah pihak yang berkepentingan.”
“Jika polis memulakan siasatan jenayah terhadap setiap tuduhan atau penghinaan terhadap Perdana Menteri, ia cenderung terjerumus ke arah autoritarianisme,” jelasnya lagi.
Hal ini adalah susulan daripada dakwaan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil bahawa Perdana Menteri telah mengarahkan pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat kenyataan berunsur fitnah.
Sehubungan itu, Kerajaan baru seharusnya mengelak dari melakukan kesilapan di peringkat awal ini sekiranya hendak memperkasa budaya demokrasi atau kebebasan bersuara, kata Zaid.
“Tidak kira betapa tidak menyenangkan atau menghina ucapan itu, siasatan jenayah tidak boleh menjadi tindak balas. Begitulah cara kita memupuk demokrasi yang sihat,” ujarnya lagi.