El Nino: Indonesia Waspada Kebakaran Hutan
JAKARTA, 11 Jun 2023 – Indonesia mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan berlaku kebakaran hutan dan tanah sepanjang musim kering susulan fenomena cuaca El Nino.
Menurut jurucakap Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari, negara merekodkan sebanyak empat kes kebakaran hutan dan tanah pada awal bulan Mei dan trend kebakaran meningkat memasuki bulan ini.
BACA JUGA: Pengapungan Harga Bakal Tingkatkan Harga Telur Tempatan
BACA JUGA: Malaysia Di Ambang Kemusnahan, PMX Ikrar Selamatkan Malaysia
BACA JUGA: Dera Kanak-Kanak, Kerajaan Tidak Akan Berkompromi
“Jumlah itu meningkat kepada 16 kes kebakaran hutan dan tanah yang direkodkan awal bulan ini.”
Katanya, berdasarkan situasi tersebut kerajaan menjangkakan kes kebakaran pasti meningkat pada musim kemarau akan datang.
“Jika negara berdepan situasi demikian dalam tempoh peralihan (antara musim hujan dan kering), maka kita boleh bayangkan bagaimana keadaannya pada kemuncak musim kemarau,” katanya.
Sebelum ini, para saintis meramalkan fenomena cuaca El Nino dijangka melanda negara pada separuh kedua 2023, manakala Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) menjangkakan fenomena itu berpotensi mencetuskan kemarau berpanjangan di negara itu.
Terdahulu, Indonesia pernah dilanda kebakaran hutan dan tanah yang dahsyat sehingga jerebu tebal turut menyelubungi Singapura dan Malaysia.
Pada waktu itu, kebakaran hutan dan tanah berlaku ketika dua fenomena cuaca iaitu El Nino di Pasifik dan fasa positif Dipole Lautan Hindi (IOD) yang mengakibatkan kemarau berpanjangan di Indonesia.
Bagaimanapun, kes kebakaran hutan dan tanah menurun dengan ketara sejak tiga tahun lalu kerana fenomena cuaca La Nina menyebabkan lebih banyak musim hujan.