Tempatan

Ekstremis Hindutva Berlatih Komando Untuk Hadapi Penduduk Muslim Assam

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ASSAM, 12 Ogos 2022 – Rashtriya Bajrang Dal (RBD) mengadakan kem latihan ‘ala komando’ sebagai persediaan bagi menghadapi bahaya daripada peningkatan penduduk Muslim Bengal dan bagi menggagalkan rancangan Muslim untuk menawan kuasa politik di Assam, lapor sebuah portal antarabangsa.

Kem yang dipimpin oleh Presiden Hindu Parishad Antarabangsa, Praveen Togadia, terletak 250 kilometer ke barat ibu kota Assam, Guwahati dan tidak jauh dari sempadan negeri Bangladesh itu mengumpulkan 240 lelaki remaja untuk latihan tersebut.

Sesi latihan itu persis latihan komando namun ia tidak dijalankan oleh pihak polis mahupun angkatan tentera dan tiada latihan tembakan sebenar menerusi senjata.

Lapor portal berkenaan, sesi latihan itu menumpukan kepada taktik pertempuran jarak dekat, seni mempertahankan diri, asas pengendalian senjata kecil, yoga, bertahan dalam keadaan genting dan turut mengajarkan orientasi ideologi.

Menurut petugas kanan dari ibu pejabat RBD di Delhi yang menyelia latihan itu, sesi latihan itu turut mendapat bantuan dari sebilangan pegawai Kerajaan yang telah bersara.

Kata seorang peserta kem latihan itu, RBD telah merekrut hampir 50,000 aktivis dari 23 daerah di Assam dan mereka sedang berusaha untuk merekrut lebih ramai kadet.

Bahkan, RBD juga merancang untuk membina lebih banyak kem latihan di daerah-daerah yang mempunyai pertambahan penduduk Muslim Bengal yang tinggi.

Rashtriya Bajrang Dal (RBD) merupakan sebuah pertubuhan di bawah Vishva Hindu Parishad yang berusaha mewujudkan perubahan tenaga belia sebagai tenaga negara.

Back to top button