Ekstremis Anti-Muslim Rasmus Paludan Pesalah Rasisme, Fitnah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SABTU, 04 Februari 2023 – Ekstremis anti-Islam yang turut membenci orang Islam, Rasmus Paludan sebenarnya telah mempunyai beberapa rekod jenayah sebelum ini yang berkaitan dengan hal-hal bersifat kebencian serta perkauman.
Beliau juga adalah seorang pengasas bagi parti Stram Kurs, iaitu pergerakan yang bersifat garis keras yang diasaskan pada tahun 2017.
Sebelum ini, Paludan sudahpun dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan berikutan beberapa kesalahan termasuklah jenayah berkaitan rasisme. Beliau juga turut disabitkan bersalah dalam memuat naik video-video yang bersifat anti-Islam di saluran media sosialnya.
Lelaki yang terkenal disebabkan perbuatannya membakar naskhah al-Quran di Sweden baru-baru ini telahpun menerima 14 pertuduhan undang-undang yang melibatkan jenayah yang berkaitan dengan perkauman, penghinaan serta memandu secara merbahaya.
Sikap anti-Islam beliau ditonjolkan melalui perbuatan membakar al-Quran bahkan beliau pernah bersumpah bahawa beliau akan membakar kitab suci tersebut setiap Jumaat sehinggalah Sweden diterima masuk ke dalam sekutu NATO.
Paludan sebelum ini turut pernah dituduh bersalah menghina seorang wanita yang berasal dari Somalia dengan menyatakan bahawa wanita itu adalah seorang pelacur. Beliau juga pernah mendakwa bahawa orang Afrika adalah lebih bodoh daripada orang Eropah.
Sebelum ini juga Paludan pernah mengeluarkan sebuah kenyataan menerusi sebuah video, menyatakan bahawa musuh beliau adalah Islam dan orang Islam, perkara terbaik adalah apabila tiada seorang pun Muslim yang wujud di bumi ini dan ketika itu objektif telah tercapai.