Dunia Perlu Beri Taliban Ruang – Ketua Angkatan Tentera Britain
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KABUL, 20 0gos 2021 – Dunia sepatutnya memberi Taliban ruang untuk membentuk kerajaan baru di Afghanistan kerana mereka mungkin sudah pun menjadi lebih bertoleransi selepas beberapa dekad, menurut ketua angkatan tentera Britain.
“Kita perlu bersabar, kita perlu bertenang dan kita perlu beri mereka ruang untuk membentuk kerajaan dan kita perlu beri mereka ruang untuk menunjukkan kelayakan mereka,” kata Jeneral Nick Carter.
“Mungkin Taliban kali ini berbeza dengan Taliban yang orang ramai masih ingat pada tahun 1990-an.”
“Kita mungkin akan dapati, jika kita berikan mereka ruang, Taliban ini akan kelihatan lebih bertoleransi. Kita mestilah ingat bahawa mereka bukan organisasi yang serumpun – Taliban adalah sebuah kumpulan yang terdiri daripada tokoh-tokoh puak berbeza yang datang dari seluruh pelusuk pedalaman Afghanistan.”
Meskipun begitu, anggota Taliban masih “budak-budak kampung” yang berpegang kepada “Pashtunwali”, budaya adat yang menjadi pegangan dan cara hidup masyarakat Pashtun, menurut Jeneral itu lagi.
Tambahnya, “Boleh jadi Taliban ini akan lebih bertoleransi. Ia kurang menindas. Dan sesungguhnya, jika kamu lihat bagaimana Taliban memerintah Kabul pada ketika ini, ada beberapa petunjuk yang menunjukkan sekarang ia lebih bertoleransi.”