Tempatan

Dua Tokoh Senior DAP Diarah Bayar Ganti Rugi Saman Fitnah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 01 Disember 2022 – Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memerintahkan dua tokoh senior DAP, Tony Pua dan Yeo Bee Yin untuk membayar ganti rugi saman fitnah berjumlah RM350,000 kepada mantan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Kedua-dua pemimpin DAP itu diarahkan berbuat demikian selepas didapati memfitnah Datin Paduka Chew dalam tiga artikel yang disiarkan di The Malay Mail Online, Free Malaysia Today dan Nanyang Siang Pau pada 2017 di mana mereka mendakwa Chew telah meluluskan penjualan sebidang tanah kepada MCA Selangor di bawah nilai pasaran semasa beliau menganggotai Jawatankuasa Tanah Daerah.

Menurut laporan media, Hakim Mahkamah Tinggi, Roslan Abu Bakar, mendapati artikel tersebut telah membayangkan bahawa plaintif, sebagai Ahli Parlimen dan ahli MCA, telah menggunakan kedudukan dan pengaruhnya dalam Jawatankuasa Tanah Daerah untuk membolehkan pengambilalihan tanah tersebut oleh MCA di bawah harga pasaran dan menyalahgunakan kuasanya dan meletakkan dirinya dalam kedudukan konflik kepentingan, antara lain.

Bagaimanapun, mahkamah berkata plaintif tidak pernah menjadi ahli Jawatankuasa Tanah Daerah (JTK) seperti yang didakwa oleh defendan.

Yeo Bee Yin, yang ketika itu menjawat jawatan Adun Damansara Utama, juga membuat kenyataan mengenai isu itu dalam video Facebook di mana dia berkata tanah itu digunakan untuk penanaman buah naga tetapi mahkamah mendapati ini adalah tidak benar.

“Seterusnya, saya dapati kedua-dua defendan (Pua dan Yeo) tidak pernah membuat pengesahan dengan pihak berkuasa atau dokumen berkaitan sama ada plaintif sebenarnya ahli JTK. Dan juga sama ada tanah yang mereka maksudkan sebagai ladang buah naga, adalah tanah sebenar yang terlibat dalam transaksi itu,” kata Hakim Roslan Abu Bakar.

“Oleh itu, defendan gagal untuk membuktikan kebenaran kenyataan itu. Oleh itu, pembelaan justifikasi gagal.”

Tambah beliau lagi, walaupun kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua defendan adalah mengenai kepentingan awam, namun, kenyataan kedua-dua mereka mengandungi unsur-unsur niat jahat kerana ia dibuat secara melulu dan tidak mengambil kira sama ada benar atau palsu tanpa membuat siasatan terlebih dahulu untuk memastikan kebenaran.

Berikutan itu, Tony Pua diarahkan untuk membayar RM200,000 manakala Yeo Bee Yin pula diarahkan membayar sebanyak RM150,000 kepada Chew secara am dan ganti rugi teruk.

Mahkamah juga mengarahkan Pua dan Yeo membayar kos secara kolektif RM50,000 kepada plaintif.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: