Dua Lelaki Maut Dihanyut Arus Deras Ketika Mencari Kepah
KUCHING, 11 Julai 2023 – Malang tidak berbau, dua lelaki yang sedang mencari rezeki di tepi pantai berhampiran Esplanade Buntal bertukar menjadi tragedi apabila mati lemas selepas dihanyutkan arus air deras.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan dari balai polis memaklumkan laporan mangsa dikhuatiri lemas di Esplanade Buntal kira-kira pukul 12.47 malam tadi.
BACA JUGA: Tukar Tanah Wakaf Jadi TRM Bertentangan Dengan Perlembagaan – Datuk Seri Hishamuddin
BACA JUGA: Air Bersih: Penyahgaraman Air Laut Adalah Pilihan Terakhir – SPAN
BACA JUGA: YDP Agong Titah Rakyat Berhati-Hati Pilih Lokasi Riadah
Pasukan BBP Petra Jaya yang dikerahkan ke lokasi kejadian mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka sedang mencari kepah di tepi pantai.
“Kedua-dua mangsa telah dihanyut oleh arus air manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri,” ujarnya.
Katanya, mangsa pertama, Mohamad Amin Umar, 39, dijumpai oleh penduduk kampung pada jarak 400 meter dari lokasi beliau dilaporkan hilang pada pukul 3.30 pagi tadi.
Manakala, katanya mangsa kedua, Awang Khairul Aziq Awang Chula, 25, dijumpai oleh anggota pasukan penyelamat bersama-sama penduduk kampung pada pukul 3.43 pagi tadi.
“Kedua-dua mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.