Tempatan

Dua Daripada Tiga Ibu Tunggal Pernah Terima Bantuan Lembaga Zakat Selangor

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SHAH ALAM, 3 Mei 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata, dakwaan tiga wanita sebelum ini bahawa mereka tidak pernah mendapat sebarang bantuan daripada pihak LZS dan agensi lain yang berkaitan ternyata tidak tepat.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas LZS menemui dua daripada tiga ibu tunggal beragama Islam terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, hasil siasatan mendapati salah seorang daripada ibu tunggal berkenaan adalah asnaf miskin yang berdaftar dengan agensi berkenaan pada tahun lalu.

“Ibu tunggal itu mempunyai tiga orang tanggungan dan sehingga kini, bantuan zakat yang diterima berjumlah RM23,450 termasuk bantuan kewangan bulanan serta sewa rumah yang disalurkan sehingga Disember tahun ini.”

“Bantuan lain yang diterima adalah bantuan pendidikan, bantuan hutang keperluan hidup (bagi menjelaskan tunggakan sewa rumah) serta bantuan kecemasan. Bagaimanapun, usaha kami menghubungi ibu tunggal ini gagal.”

“Bagi ibu tunggal kedua, daripada siasatan kami mendapati dia bukan ibu tunggal dan mempunyai suami yang tidak menetap di negara ini. Wanita ini juga menerima bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2012 hingga 2017.”

“Dia juga pernah menerima bantuan menyelesaikan tunggakan sewa rumah pada 2017 daripada LZS dan tiada permohonan lain dibuat olehnya selepas itu.”

Manakala, wanita ketiga pula didapati masih mempunyai suami dan baru sahaja menghantar permohonan pendaftaran asnaf fakir dan miskin bagaimanapun dokumen yang dilampirkan tidak lengkap kerana dokumen perceraian tidak disertakan.

Tambah Saipolyazan M Yusop, hasil pertemuan itu juga tidak dapat disahkan sama ada ketiga-tiga wanita itu benar-benar menerima bantuan daripada gereja seperti didakwa.

Agensi zakat dilanda kontroversi selepas tiga ibu tunggal mendakwa mereka tidak menerima bantuan sewajarnya dari institusi zakat atau agensi berkaitan walaupun sudah berkali-kali membuat permohonan.

Hal itu menyebabkan mereka terpaksa memohon bantuan dari pihak gereja akibat dihimpit kesukaran hidup selepas bergelar ibu tunggal.

Ulas Saipolyazan, pihaknya memandang serius isu ini kerana ia secara tidak langsung menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat.

“Hilangnya kepercayaan akan menyebabkan kutipan terjejas dan bagaimana kita mahu menyantuni golongan yang memerlukan bantuan?”

Justeru, Saipolyazan meminta mereka yang memerlukan bantuan mengunjungi cawangan LZS terdekat selain menggalakkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk berkongsi maklumat sekiranya terdapat ibu tunggal atau keluarga asnaf fakir yang memerlukan bantuan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: