DPPWP Kecam Pembebasan Jualan Arak DBKL
KUALA LUMPUR, 01 Disember 2023 – Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyatakan kekecewaan serta kekesalan dengan penghapusan larangan penjualan arak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.
Memetik kepada kenyataan Ketua Penerangan DPPWP, Abdul Razak Ramli yang disiarkan di platform Facebook DPPWP semalam, DBKL telah meluluskan sehingga 1,519 lesen penjualan arak pada 23 November 2023 di mana ia menyebabkan konflik penjualan arak secara terbuka di kedai serbaneka seluruh Kuala Lumpur kembali bangkit.
“Kelulusan lesen ini telah dibuat oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL diketuai oleh Pooi Weng Keong yang baru dilantik pada era Kerajaan Madani,” katanya.
Menurut beliau, pada 01 November 2021, larangan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat cina telah dikuatkuasakan oleh DBKL yang pada ketika itu Dato’ Seri Shahidan Kassim menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.
Namun begitu, beliau berkata larangan tersebut telah dihapuskan dan penjualan arak secara bebas telah dibenarkan ketika ini.
“DPPWP berasa amat kecewa dan kesal dengan penghapusan larangan tersebut yang hanya akan memarakkan lagi masalah sosial yang telah sedia parah sekarang ini.
“Umat Islam perlu bangkit melihat sikap sambil lewa kerajaan terhadap isu ini yang telah mengambil langkah ke belakang terhadap isu arak di Malaysia,” luahnya pada kenyataan tersebut.