DPMM Sokong Penuh Belanjawan 2023, Tetapi Perlu Selari Dengan Perkara 153 & 160 Perlembagaan
1. Dewan Melayu ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Kewangan kerana telah menyampaikan bajet yang mesra-miskin dan berani, walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan ruang fiskal yang ketat.
2. Dewan Melayu juga menyambut baik inisiatif Kerajaan yang ingin membantu Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) melalui sokongan dan pembiayaan bernilai 40 bilion untuk PMKS yang merangkumi perniagaan mikro, peniaga kecil serta kumpulan yang bekerja sendiri.
3. Penghargaan Dewan Melayu juga pada Kerajaan kerana membantu 130,000 rakyat muflis untuk bermula semula. Tidak lupa juga pengampunan yang diberikan oleh LHDN selain potongan cukai 2% yang akan dinikmati PMKS.
4. Dewan Melayu mengiktiraf kepentingan waqaf sebagai komponen terpenting dalam Ekonomi Islam dan pelancaran Waqaf MADANI yang akan menggabungkan aset bernilai 1 bilion sebagai satu tanda pengiktirafan yang memastikan waqaf akan menjadi daya pemacu untuk meningkatkan dan menaikkan taraf ekonomi umat Islam yang kebanyakannya Melayu & bumiputera, dengan menjadikannya sebagai alat ekonomi utama dalam ummah.
5. Dewan Melayu menghargai insentif yang diberikan kepada pengusaha untuk mengambil lepasan TVET selama 3 bulan dengan insentif gaji RM600 melalui PERKESO. Ini menambah kemampuan peniaga untuk membangun perniagaan sambil menyokong sektor pekerjaan. Berkenaan inisiatif untuk mewujudkan syarikat peneraju yang terdiri dari 50 buah syarikat terutamanya daripada kalangan GLC berperanan untuk menyediakan peluang-peluang perantis kepada peserta TVET ini adalah memang sepatutnya-kerana perantisan adalah faktor paling utama dalam memastikan keberhasilan program TVET. Namun, sama ada syarikat peneraju tersebut akan mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET itu wajar untuk dikaji dengan lebih teliti.
6. Dewan Melayu juga menyokong tindakan Kerajaan untuk memastikan GLC kembali pada mandat asal di mana ia akan menutup anak-anak syarikat yang tidak relevan dan yang cuba bersaing dengan usahawan tempatan. Ini sememangnya menjadi pendirian Dewan Melayu, namun begitu kami berharap agar anak-anak syarikat ini tidak dijual dengan sewenang-wenangnya. Dengan penutupan anak-anak syarikat tersebut daripada menjadi pesaing usahawan tempatan, kami jangka ini akan merancakkan lagi persaingan yang sihat dalam pasaran di kalangan usahawan bumiputera.
7. Dewan Melayu bersetuju dengan cukai progresif. Oleh itu, cukai yang dikenakan ke atas barangan mewah adalah satu langkah ke hadapan untuk Malaysia, walaupun ia agak sempit jika dibandingkan GST. Namun begitu, cukai yang dikenakan ke atas barangan mewah menunjukkan bahawa Kerajaan bersikap empati kepada rakyat biasa dan ini harus dipuji.
8. Pengenalan akta fiskal tidak akan menambah nilai tapi mungkin merumitkan lagi daya saing negara. Pertumbuhan ekonomi kita memerlukan Kerajaan untuk belanja lebih banyak. Dasar untuk mengurangkan defisit hutang melalui Akta Tanggungjawab Kewangan harus dikaji semula atau dipinda supaya ia tidak mengehadkan apa yang Kerajaan boleh lakukan untuk memacu ekonomi bagi memastikan rakyat dapat mengecapi sebanyak mungkin kemakmuran.
9. Sungguhpun Kerajaan melalui belanjawan ini, tidak memberikan penekanan khusus kepada agenda pemerkasaan Melayu & Bumiputera, namun begitu, Dewan Melayu mengikitiraf pelbagai program dalam belanjawan ini yang membantu kebanyakan PMKS Melayu dan bumiputera agar dapat terus bertahan dan hidup daripada gulung tikar. Dasar ekonomi yang lebih telus dan hak yang sama rata yang sedang diterapkan oleh Kerajaan Madani amat kami sokong dan kami puji berbanding dasar ekonomi sebelum ini yang seringkali disabatoj oleh pemberi dan penerima rasuah serta pengkhianat yang terdiri daripada sebilangan ahli politik dan segelintir pegawai kerajaan serta pengusahaniaga yang bersengkongkol melalui amalan salah guna kuasa.
10. Oleh itu Dewan Melayu menyokong penuh pendekatan Kerajaan sekarang untuk melaksanakan pendekatan berasaskan keperluan dalam membangun serta memperkasa dasar ekonomi merentas kaum untuk menangani masalah kemiskinan dan kerentanan.
11. lanya perlu selari dengan Perkara 153 & 160 Perlembagaan Persekutuan, di mana Kerajaan masih terus perlu melaksanakan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan secara berkesan untuk meningkat penglibatan Melayu Dan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi.