Tempatan

Dos Penggalak Pertama Buat Individu 12 Hingga 17 Tahun

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 30 Jun 2022 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan supaya dos ketiga vaksin COVID-19 diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dan remaja 12 hingga 17 tahun yang mengalami imunokompromi sederhana atau teruk di negara ini untuk melengkapkan vaksinasi primer tiga dos.

Dalam satu kenyataan yang dibuat pada Rabu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, syor dan cadangan itu dikeluarkan selepas dibincangkan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) bagi Vaksin COVID-19.

“Pada 14 April lalu, KKM telah mengumumkan pemberian dos penggalak kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas.”

“Namun berdasarkan situasi semasa tahap keberkesanan vaksin dalam kalangan remaja yang berisiko tinggi, TWG mengesyorkan supaya agihan dos penggalak dikategorikan semula sebagai dos ketiga sekaligus menjadi pelengkap kepada vaksinasi primer.”

Jelasnya, kajian keberkesanan dua dos vaksin terhadap remaja di luar negara mendapati tahap keberkesanan vaksin terhadap golongan itu menurun sebanyak 42 peratus hingga 73 peratus selepas lima hingga 10 bulan menerima dos kedua.

Namun, beliau menegaskan bahawa dos penggalak pertama itu hanya boleh diberikan setelah vaksinasi dos ketiga telah lengkap.

Menurutnya, kanak-kanak dan remaja yang berisiko tinggi perlu disahkan pakar perubatan kerajaan atau swasta sebelum dos ketiga diberikan iaitu sekurang-kurangnya lapan minggu (bagi kanak-kanak) dan 28 hari (bagi remaja) selepas menerima dos kedua.

Bagi pemberian dos penggalak pula, remaja berisiko tinggi juga perlu disahkan pakar perubatan Kerajaan atau swasta dan akan menerima suntikan selepas tiga bulan menerima vaksinasi lengkap tiga dos primer.

Dalam pada itu, beberapa kriteria telah ditetapkan untuk agihan dos penggalak kedua yang mana ia hanya untuk individu berisiko berumur 18 hingga 59 tahun dan petugas kesihatan barisan hadapan.

“Suntikan dos penggalak kedua boleh diberikan sekurang-kurangnya enam bulan selepas menerima dos pengalak pertama dan setelah berbincang dengan mana-mana pengamal perubatan berdaftar.”

Tambahnya lagi, KKM juga akan memperluaskan pemberian vaksin CanSino Bio sebagai dos penggalak secara heterologus kepada penerima vaksin lengkap tanpa mengira jenis vaksin dos primer.

“Kriteria kelayakan bagi penerima dos penggalak CanSino Bio ialah individu mestilah berumur 18 tahun dan ke atas dan telah menerima vaksin selain daripada vaksin jenis CanSino Bio dan Sinovac yang telah diluluskan sebelum ini.”

Jelasnya, prosedur atau mekanisma bagi pelaksanaan pemberian dos ketiga bagi kanak-kanak dan remaja serta dos penggalak pertama bagi remaja, akan dimuktamad dan dimaklumkan dalam waktu yang terdekat.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: