Dos Penggalak Harus Kekal Sukarela – Pakar
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 16 Julai 2022 – “Penggalak pertama tidak akan menghentikan penularan penyakit. Tahap keterukan COVID-19 dengan varian Omicron juga telah berkurangan, berbanding varian Delta,” kata Profesor Epidemiologi dan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Dr Sanjay Rampal.
“Mereka yang lebih muda dan lebih sihat mungkin tidak memilih untuk mendapatkan penggalak. Ini boleh diterima selagi mereka dimaklumkan tentang risiko dan faedah mendapat dos penggalak,” ujarnya lagi seperti dilaporkan portal The Sun Daily.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh profesor epidemiologi itu bagi mengulas kenyataan dari Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang menasihatkan rakyat Malaysia yang masih belum mengambil suntikan penggalak supaya segera berbuat demikian susulan kes subvarian Omicron BA.5 telah dikesan di negara ini.
Apabila ditanya mengenai mungkinkah penutupan (lockdown) akan dilaksanakan semula sekiranya kes jangkitan COVID-19 melonjak, Dr Sanjay Rampal menegaskan bahawa ianya tidak mungkin.
Hal ini kerana kadar penularan sejak beberapa bulan lalu sangat rendah berbanding awal tahun ini.
“Tidak ada keperluan untuk penutupan lebih lanjut kerana kapasiti penjagaan kesihatan nasional kita sepatutnya mempunyai sumber yang mencukupi untuk menguruskan varian semasa.”
Baru-baru ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menasihati individu yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19 agar segera berbuat demikian susulan peningkatan jangkitan kes virus itu.
Beliau juga juga menggesa agar rakyat Malaysia memakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup atau sesak.