Doktor Pelatih Jabatan O&G Hospital Sungai Buloh Dakwa Dibuli Pegawai Perubatan
KUALA LUMPUR, 20 Mac 2023 – Doktor Pelatih yang bekerja di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Sungai Buloh mendakwa mereka telah dibuli oleh pegawai perubatan di jabatan itu termasuk gangguan seksual, penghinaan awam dan waktu bekerja yang berlebihan.
Kenyataan ini adalah berdasarkan daripada surat yang diterima oleh CodeBlue pada Rabu lalu, di mana pengadu memperincikan dakwaan penganiayaan setiap hari terhadap “semua” doktor pelatih di jabatan itu oleh doktor senior.
BACA JUGA: Tun M Mohon Tandatangan Proklamasi Orang Melayu Jika Sayang Bangsa
BACA JUGA: Malaysia ‘Milik Semua’ Mengelirukan, Adakah Tanah Rizab Melayu Bakal Dikorbankan?
BACA JUGA: SKMM Beri Amaran Terhadap Individu Bangkit Sentimen Kebencian 3R
Menurut kenyataan CodeBlue di portal rasminya, dakwaan buli itu termasuklah membuat komen seksual terhadap doktor pelatih wanita, menggunakan penghinaan misoginis, memalukan doktor pelatih secara terbuka, menafikan cuti tahunan serta waktu makan dan rehat, dan mengenakan jadual kerja yang tidak munasabah.
“Kami dibuli secara lisan, dengan kata-kata kasar dan kesat digunakan untuk memarahi doktor pelatih,” dakwa pengadu dalam kenyataan itu
Pengadu turut mendakwa mereka tidak dibenarkan untuk mengambil cuti tahunan sepanjang perkhidmatan mereka di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi hospital berkenaan berikutan kekurangan doktor pelatih.
“Kami juga diarahkan untuk datang bekerja pada hari cuti dengan alasan perlu membuat penilaian pra-op,” dakwa pengadu lagi.
Dakwaan penganiayaan itu juga turut melibatkan jadual kerja yang “tidak rasional” untuk doktor pelatih di mana tiada notis awal yang dikeluarkan daripada ketua jabatan.
Selain itu, doktor pelatih di jabatan itu juga didakwa tidak dibenarkan untuk rehat dan makan sebaliknya mereka terpaksa “bekerja secara berterusan.”
Menurut pengadu itu, mereka tidak dapat melaporkan perkara tersebut kepada sesiapa kerana telah diugut dengan lanjutan dan markah yang lebih rendah sekiranya aduan dibuat kepada pentadbiran hospital.
Memetik kepada kenyataan CodeBlue itu, berdasarkan tinjauan CodeBlue yang dijalankan ke atas 1,652 pekerja penjagaan kesihatan pada Januari lalu mendapati bahawa kira-kira 41 peratus doktor pelatih yang bekerja di hospital awam di Malaysia berdepan dengan masalah buli di tempat kerja manakala 6 peratus melaporkan bahawa mereka mengalami gangguan seksual di tempat kerja.