Tempatan

Doktor Pelatih Dikerah Seperti Hamba

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGE TOWN, 14 Mei 2022 – “Ini adalah perhambaan moden. Saya tidak rasa ini wajar dibiarkan. Doktor, tidak kira junior atau senior, tidak patut bekerja melebihi had keupayaan mereka,” kata bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

Menurutnya, waktu kerja doktor di hospital awam perlu disemak segera kerana melanggar undang-undang buruh tempatan yang mengehadkan waktu bekerja kepada 48 jam seminggu, seiring saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Beliau berpandangan bahawa Jabatan Tenaga Kerja perlu meneliti amalan di hospital dan memberi cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang boleh diperbaiki demi kesejahteraan semua kakitangan hospital.

Kenyataan itu disokong oleh ahli kesatuan sekerja, K Veeriah yang menyifatkan pembulian doktor pelatih dan waktu kerja yang panjang itu adalah petanda jelas buruh paksa mengikut petunjuk ILO.

Menurut FMT, buat masa ini doktor pelatih bekerja dalam tiga syif, iaitu 7 pagi hingga 5 petang, 7 pagi hingga 9 malam atau secara “on-call” dari 8 malam hingga 9 pagi.

Doktor pelatih perlu menjalani satu tempoh dipanggil ‘tagging‘ iaitu bergandingan bersama doktor pelatih kanan (SHO) atau pegawai perubatan (MO) yang memerlukan doktor pelatih bertugas dari 7 pagi hingga 10 malam untuk temph dua minggu dengan satu hari rehat sepanjang tempoh berkenaan.

Walau bagaimanapun, doktor pelatih perlu melapor diri seawal 4 pagi untuk menyediakan butiran ringkas pesakit sebelum doktor senior tiba pada 7 pagi dan tempoh ‘tagging’ ini boleh dilanjutkan dua minggu lagi sekiranya tidak mencapai standard ditetapkan.

Perkara ini turut mendapat perhatian pakar psikologi, Sitra Paneersheluam yang berkata, waktu kerja panjang mampu menyebabkan keletihan mental dan beban kognitif berlebihan.

“Doktor yang berurusan dengan pesakit dan ubat-ubatan mesti sentiasa dalam keadaan peka kerana ia boleh mengakibatkan maut dalam kes melampau.”

“Siapa yang menjaga kesihatan mental doktor-doktor kita? Malangnya, ia masih pantang dibincangkan.”

Leave a Reply

Back to top button