Surat Pembaca

DOKTOR KONTRAK: GERAKAN DUKACITA UNTUK MALAYSIA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Dukacita untuk seluruh Malaysia apabila kes kumulatif menjangkau 1,000,000 sejak daripada kes pertama dicatatkan pada 25 Januari 2020.

Situasi di Lembah Klang juga terus kritikal, dengan setiap hari tidak kurang dari 50 hingga 70 peratus menjadi penyumbang kepada kumulatif kes di negara ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan wad-wad di Hospital Covid-19 sudah semakin penuh. Lebih teruk lagi, wad-wad Unit Rawatan Rapi atau ICU pun sudah semakin sempit, akibat pertambahan pesakit yang kritikal.

Walaupun usaha terus dipergiatkan, namun alat-alat bantuan pernafasan dan lain-lain alat perubatan masih tidak mencukupi.

Barisan staf kesihatan pula terus letih dan tidak cukup rehat. Ketika orang lain boleh berehat di rumah dan menikmati cuti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Thaipusam, Krismas, waima cuti hujung minggu sekali pun, petugas barisan hadapan tetap menyarung uniform mereka.

Ketika semua ini sedang terjadi di hadapan mata semua, kita agak terperanjat bercampur sedih dan kecewa, apabila mendapati golongan doktor berstatus kontrak dengan Kerajaan Malaysia masih mahu meneruskan sesi protes terhadap layanan pemerintah.

Mereka tetap mahu menuntut jawatan tetap dalam skim perkhidmatan awam dan tidak mahu sekadar dijanjikan dengan penyambungan kontrak walaupun untuk dua tahun lagi.

“Ia adalah gula-gula untuk menutup mulut kita. Kita tahu benar bagaimana sistem ini berjalan, dan kita tidak akan terpedaya,” kata Gerakan Hartal Doktor Kontrak dalam satu kenyataan umum di media sosial pada 24 Julai 2021.

Ini perasaan tidak puas hati mereka setelah Perdana Menteri mengumumkan persetujuan untuk melanjutkan tempoh kontrak semua doktor kontrak terbabit dengan menawarkan pelantikan – secara kontrak – selama tempoh dua tahun selepas melengkapkan khidmat wajib.

Kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, langkah penyelesaian segera itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan mereka untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Tolonglah para doktor! Lihat wajah-wajah pakcik, makcik, anak-anak kecil, dan rakyat kita keseluruhannya. Mereka semua meletakkan sepenuh kepercayaan kepada barisan petugas kesihatan iaitu barisan doktor tanpa kira berstatus tetap atau kontrak.

Ramai di alam realiti sedang bercakap-cakap bahawa desakan Gerakan Hartal Doktor Kontrak ini kurang sesuai pada waktunya.

Menuntut hak atau keistimewaan yang memerlukan proses teknikal dan implikasi kewangan besar sebegini di kala darurat dan pandemik, adalah suatu langkah yang boleh dianggap pentingkan diri dan tidak wajar sama sekali.

Sedarkah kita, setakat Mei 2021 lalu, jumlah rakyat yang masih menganggur dan sedang mengharapkan pekerjaan adalah seramai 728,100 ribu orang atau 4.5 peratus.

Jadi bagi yang masih diberikan rezeki kerja walaupun downgrade atau tidak setimpal dengan pengalaman serta kelayakan, eloklah masing-masing bersabar sebentar dan bertahanlah buat seketika.

Malahan, banyak lagi skim perkhidmatan dalam sektor awam yang masih tidak dibela dengan lebih baik.

Tanpa perlu disebut skim tersebut, cukup banyak yang masih berada dalam status kontrak dengan gred 41 untuk tempoh lima hingga 10 tahun.

Jika hendak diikutkan, profesion kedoktoran ini antara yang paling menguntungkan di Malaysia. Paling tidak, selepas bergraduasi mereka mudah untuk diterima masuk dalam skim perkhidmatan kerajaan walaupun sekadar kontrak.

Dalam hal ini, Datuk Seri Dr Adham Baba selaku Menteri KKM dan Dato’ Mohd Shafiq Abdullah selaku Ketua Setiausaha Kementerian telah melakukan yang terbaik untuk menjaga kebajikan para doktor kita.

Tindakan membawa isu ini terus ke perbincangan Jemaah Menteri antara langkah paling tepat di kala negara sedang sibuk menguruskan pandemik tanpa kesudahan ini.

Ini kerana, dalam isu perjawatan sebegini, KKM tidak boleh membuat keputusan penuh, sebaliknya ia memerlukan partisipasi dari pelbagai agensi atau kementerian lain seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Yakinilah bahawa isu ini akan terus menjadi pertimbangan utama pihak kepimpinan KKM dan negara. Namun bukan hari ini masanya yang sesuai untuk kita memperbaiki sistem.

Sebaliknya pada hari ini kita perlu menggunakan apa sahaja sistem dan sumber yang ada semata-mata untuk menyelamatkan semua dari pandemik.

Biarlah negara kita lepasi diri dari pandemik terlebih dahulu. Selepas ekonomi kembali rancak dan isu kesihatan sudah selesai, barulah sama-sama kita perhalusi isu ini.

Utamakanlah dahulu kemaslahatan sejagat dan rakyat terbanyak, dalam masa sama kebajikan asas barisan frontliners terutama doktor kontrak ini perlu juga ditambah baik setakat yang termampu ketika situasi darurat sebegini.

IBN SAAD
Presint 10, Putrajaya

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: