Doktor Emiriah Seru Ulama Halalkan Ibu Tumpang Dalam Islam
EMIRIAH ARAB BERSATU, 11 November 2023 – Dr. Maha Taysir Barakat menyeru para ulama untuk ‘menghalalkan’ amalan ibu tumpang atau surrogacy dalam Islam, memetik kepada laporan Khaleej Times.
Berkata kepada agensi tersebut, beliau menjelaskan bahawa adalah penting untuk para ulama memahami sains di sebalik proses tersebut.
“Anda mempunyai dunia Islam di hadapan anda dan mereka perlu memahami sains yang baharu.”
“Saya berusaha menjelaskan kepada semua orang bagaimana prosesnya berjalan dengan lebih terperinci daripada yang mereka miliki lima atau sepuluh tahun yang lalu. Saya berharap ada lebih banyak penerimaan terhadap ilmu pengetahuan melalui penjelasan saya,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa proses menyewa rahim semula jadi dan buatan adalah isu baru yang timbul dan adalah penting untuk menjelaskan hukum Syariah yang pasti mengenainya kerana ia telah menjadi isu yang sebenar.
Beliau berkata akan perkara itu sewaktu persidangan antarabangsa kedua Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang memberikan pembentangan terperinci tentang ilmu ibu tumpang kepada lebih 160 ulama, saintis dan personaliti intelektual dari seluruh dunia pada Rabu lalu.
Untuk makluman, penggunaan kaedah ibu tumpang dalam Islam bagi mendapatkan zuriat adalah haram hukumnya.