Modi Bakul Sampahkan 2,000 Undang-Undang ‘Kuno’ Era British
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
INDIA, 11 Oktober 2022 – Presiden India, Narendra Modi, dalam sebuah ucapan di Jamnagar, baru-baru ini menzahirkan rasa bangga apabila beliau mendakwa bahawa kerajaan di bawah kepimpinannya telah berjaya memansuhkan hampir 2,000 undang-undang ‘kuno’ yang diperkenalkan oleh British.
Menurut sebuah laporan antarabangsa, Modi menegaskan bahawa usahanya tersebut adalah bagi membantu memudahkan urusan perniagaan.
Antara contoh usaha yang dipelopori beliau adalah dengan memansuhkan undang-undang yang menghukum pemilik kilang yang tidak menguruskan tandas mereka dengan baik dengan hukuman penjara.
“Ada sebuah undang-undang yang menyatakan bahawa sekiranya kamu mempunyai sebuah kilang yang dilengkapi dengan tandas, dan kamu tidak membasuh tandas itu selama enam bulan, kamu akan dipenjarakan selama enam bulan,” ujar beliau.
“Tuhan selamatkan kita dari apa yang dibuat oleh kerajaan lampau,” tambah Modi lagi.
Modi turut mendakwa bahawa kerajaan India di bawah pemerintahannya telah berjaya menaikkan kedudukan India dalam senarai negara yang ‘mesra-perniagaan’, dari kedudukan ke-142 kepada 63.
Namun, kerajaan India kini ‘dihujani’ persoalan tentang pembahagian kekayaan di negara tersebut yang dikatakan tidak seimbang; di mana sebuah laporan antarabangsa menekankan jurang ekonomi rakyat India, dengan golongan 1% peratus terkaya di India membolot hampir 20% kekayaan India, manakala lebih 50% lagi penduduk terpaksa berkongsi dari 13% hasil negara.
“Kemiskinan di negara ini berdiri seperti seekor raksasa di hadapan kita. 200 juta orang masih di bawah garis kemiskinan sepatutnya membuatkan kita sangat sedih,” tegas Dattatreya Hosabale, Ketua Setiausaha Persatuan Rashtriya Sevak Sangh (RSS).