Diskaun Saman 50% Berita Palsu
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 18 Julai 2022 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa iklan mempromosikan tawaran 50 peratus diskaun bagi saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM adalah palsu.
Demikian kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Polis Malaysia setelah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM mengesan satu iklan promosi diskaun saman yang tular menerusi mesej di aplikasi Whatsapp.
Menurut kenyataan itu, iklan tersebut memaparkan nilai saman, jumlah bayaran diskaun serta tawaran yang dilaksanakan sehingga 20 Julai ini. Individu yang berminat pula dikehendaki berhubung melalui nombor telefon yang tertera dalam iklan berkenaan.
Terkini, pihak PDRM sedang menjalankan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan iklan palsu berkenaan.
Pihak mereka turut menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh serta tidak menghubungi penama yang dinyatakan. Masyarakat juga digalakkan menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang berita terutamanya mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi PDRM agar tidak menjadi mangsa penipuan pihak tertentu.