Dipaksa Bersekolah di Asrama Kerajaan – Didera, Mati, Dikuburkan dan Dilupakan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AMERIKA SYARIKAT (AS), 20 Mei 2022 – Dipaksa tinggalkan keluarga dan bermusafir jauh ke asrama kerajaan, hanya untuk dilayan seperti binatang dan mungkin bertemu pengakhiran di liang lahad. Begitulah nasib kaum Asli di AS di bawah pemerintahan kerajaan AS suatu ketika dahulu.
Lapor The Economist, sebuah kajian yang dilakukan Biro Hal Ehwal Indian (warga Asal AS) mendedahkan ‘kekejaman’ pentadbiran kerajaan AS melalui Inisiatif Persekutuan Bagi Persekolahan Asrama Kaum Indian.
Sophia Tetoff, seorang kanak-kanak dari suku Unangax adalah salah satu kes yang dilaporkan mengenai program ini. Pada tahun 1901, Sophia ‘direntap’ pergi dari keluarganya ketika beliau baru berumur 12 tahun.
Sophia dipaksa menetap di asrama Carlisle sejauh 6,000 kilometer dari tempat asalnya, di mana asrama tersebut adalah sebuah asrama kerajaan, khas bagi menempatkan kaum Indian di sana.
Baru 5 tahun menetap di sana, Sophia menemui ajal akibat penyakit Tuberculosis (TB), namun, itu bukanlah pengakhiran kepada kesengsaraannya. Mayatnya ditanam di perkarangan sekolah, nama sukunya (Unangax) juga dieja salah, lebih teruk lagi, namanya pada batu nisan juga salah ejaan.
Menurut Deb Haaland, Setiusaha Dalaman yang bertanggungjawab menguruskan Biro Hal Ehwal Indian, dari tahun 1819 ke 1969, terdapat 408 buah sekolah asrama serupa, di mana setakat ini siasatan mendapati 53 buah sekolah dilengkapi dengan tanah perkuburan.
“Kesan dasar sekolah berasrama bagi kaum Indian yang dikenakan ke atas beberapa generasi kanak-kanak seawal usia 4 tahun sangat menyedihkan dan ia sesuatu yang tidak dapat dinafikan,” ujarnya.