Didakwa Menyalahi Undang-Undang, 137 Orang Asli Mohon Batal Status Islam
KUALA LUMPUR, 27 Mac 2023 – Berikutan penukaran agama secara beramai-ramai yang didakwa menyalahi undang-undang, 137 Orang Asli daripada suku Bateq Mayah memohon untuk membatalkan status Islam mereka.
BACA JUGA: Bakal Haji Negara Digesa Segera Jawab Surat Tawaran Haji
BACA JUGA: Bekalan Telur Dilapor Mula Berkurang
BACA JUGA: LGBT & Kumpulan Liberal Yang Menyokong Mereka Harus Ditolak Muslim
Sebuah berita tempatan melaporkan, 137 plaintif itu telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September tahun lalu melalui peguam daripada firma guaman Fahri Azzat & Co.
Katanya, enam defendan dinamakan dalam tindakan sivil tersebut termasuklah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pengarah serta pegawainya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (MUIP), Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan.
Memetik kepada berita berkenaan, berdasarkan daripada kenyataan tuntutan, mereka mendakwa penukaran agama yang haram dan salah itu berlaku pada April 1993, di rumah mereka di Kampung Benchah Kelubi, Merapoh, Kuala Lipis, Pahang.
Dakwa plaintif, pada awal tahun 1993, wakil JAKOA telah meminta dua ketua kampung serta penduduk lain untuk memeluk Islam.
Namun, sekiranya enggan, plaintif mendakwa wakil daripada JAKOA itu mengugut mereka bagi memastikan mereka menukar agama antaranya penduduk tidak dibenarkan tinggal di kampung itu lagi, rumah dan tanaman akan dimusnahkan serta orang kampung akan dihalau serta diseksa jika lari ke gunung.
Plaintif turut mendakwa bahawa mereka tidak diberitahu tentang implikasi bahawa mereka akan tertakluk kepada rangka kerja perundangan Islam Pahang selain anak mereka juga akan automatik beragama Islam apabila dilahirkan.
“Pada tahun 1993, Defendan telah mengeksploitasi pengaruh mereka ke atas Orang-Orang Asli di Kampung tersebut dan, dalam melanggari kewajipan mereka terhadap Orang-Orang Asli di situ, mereka telah dengan secara salah, secara haram serta menggunakan paksaan, mengislamkan Orang-Orang Asli tersebut,”
“Dengan berbuat sedemikian mereka telah melanggar kewajipan mereka untuk melindungi dan memelihara kepercayaan budaya dan agama Orang-Orang Asli tersebut,” kata plaintif.
Plaintif medakwa lagi, penukaran agama secara beramai-ramai itu adalah menyalahi undang-undang serta melanggar Seksyen 101 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Pahang) 1991 kerana ucapan Kalimah Syahadah tersebut tidak diucapkan oleh penduduk kampung dalam Bahasa Arab yang boleh difahami secara munasabah, tidak mengerti makna frasa tersebut disebabkan buta huruf, serta ia tidak dilakukan dalam keadaan rela mahupun kehendak bebas.
Sehubungan itu, para plaintif memohon beberapa pengisytiharan mahkamah antaranya ialah bahawa plaintif bukan orang yang menganut agama Islam; bahawa mana-mana orang yang dilahirkan selepas pemfailan saman itu bukanlah orang yang menganut agama Islam; dan bahawa plaintif mempunyai hak untuk mengamalkan serta mengakui kepercayaan rohani dan budaya mereka sendiri tanpa sebarang gangguan daripada defendan.
Untuk rekod, pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 17 April ini bagi menguruskan kes permohonan plaintif untuk memindahkan tindakan sivil tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuantan.