Diceroboh Gajah Liar, Orang Asli Terpaksa Bermalam Tepi Sungai
JERANTUT, 02 November 2023 – Masyarakat Orang Asli etnik Bateq Kuala Atok terpaksa berkhemah dan bermalam di tepi Sungai Tembeling berdekatan Kuala Tahan selepas rumah mereka diceroboh seekor gajah liar.
Tok Batin Orang Asli Kuala Atok, Husin Dayak berkata, gajah liar berkenaan sudah tiga malam berturut-turut menceroboh kawasan penempatan penduduk di situ sejak Ahad lalu.
“Dalam tempoh tiga hari ini, gajah liar ini masuk merayau di tepi hutan berdekatan bermula kira-kira pukul 7 malam dan selepas pukul 10 malam mula menghampiri penempatan kami.”
Menurutnya, kejadian sebegitu kerap berlaku sebelum ini apabila seekor gajah liar berkeliaran berdekatan kampung itu dan pernah menceroboh ruang dapur rumah penduduk untuk mendapatkan makanan.
“Apa yang paling menakutkan apabila gajah itu menghampiri rumah ketika penduduk sedang tidur.”
Justeru, Husin menghubungi pasukan Nature Lifeguard Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan kerana bimbang keadaan boleh mengancam keselamatan anak buahnya.
“Mereka membantu memindahkan kami seramai 100 orang daripada 27 keluarga ke seberang Sungai Tembeling serta mendirikan khemah bermalam di atas pasir.”
Dalam pada itu, Penyelaras Nature Lifeguard APM Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim menasihati penduduk Orang Asli agar membuat penempatan berdekatan di kawasan yang selamat dan tidak terlalu jauh ke dalam hutan, boleh dihubungi dengan capaian telefon bimbit supaya segera menghubungi agensi berkaitan bantuan keselamatan serta bantuan tertentu jika berlaku sesuatu bencana.