Antarabangsa

Dicabul dan Didiskriminasi Kerana Kasta Rendah, Saintis Wanita Tekad Berlapar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

NEW DELHI, 07 November 2021 – Deepa P. Mohanan, seorang calon Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di International and Inter University for Nanoscience and Nanotechnology, Mahatma Gandhi University (IIUCNN), India tekad menahan lapar sebagai tanda protes terhadap diskriminasi ke atasnya dipercayai berpunca dari status kastanya.

Beliau mendakwa pengarah institusi terbabit, Nandakumar Kalarikkal mensabotaj beliau dengan menghalangnya dari akses makmal, bahan-bahan penting di makmal dan pelbagai perkara lagi agar gagal menyempurnakan PhDnya, hanya kerana beliau berasal dari kasta Dalit.

Dalit merupakan tingkatan paling bawah, paling dipandang hina dalam sistem kasta yang diamalkan masyarakat di India.

Walaupun sistem kasta telah dihapuskan dari Perlembagaan India semenjak 1950-an, budaya kasta ini masih lagi wujud, terutamanya dari sudut segregasi dan diskriminasi ke atas mereka yang berkasta rendah seperti Dalit.

Deepa sedang dalam usaha memajukan bidang nanoperubatan dengan menghasilkan sejenis sebatian yang boleh memulihkan luka mangsa-mangsa kecederaan, namun menurut beliau, beliau telah disekat dari pelbagai kemudahan universiti.

Bukan itu sahaja, beliau turut mendakwa pada tahun 2014, beliau telah diganggu dengan amang seksual oleh seorang felo penyelidik di institusi berkenaan yang bertindak menggenggam tangan beliau secara paksa. Walaupun hal ini diadukan kepada Naib Canselor, Sabu Thomas, tiada sebarang tindakan dilakukan.

Beberapa pertubuhan pelajar tampil menyuarakan sokongan terhadap Deepa dan menyeru supaya budaya layanan mengikut kasta dihapuskan dari minda masyarakat di India.

“Hukum para pesalah dan mereka yang bersubahat, Nandakumar Kalarikkal, Pengarah IIUCNN dan Naib Canselor Sabu Thomas,” tegas Persatuan Pelajar Birsa Ambedkar dalam kenyataan rasmi mereka.

Leave a Reply

Back to top button