Tempatan

#DengkiKe Berlaku Kerana Penguatkuasaan Lemah – Ustaz Engku Ahmad Fadzil

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 3 Mei 2021 – Ustaz Engku Ahmad Fadzil berkata, keterbukaan sebahagian individu-individu diraja (di dalam kes ini DYMM SPB Permaisuri Agong sendiri) untuk berinteraksi dengan rakyat jelata secara mesra dan santai, sama ada ketika bersemuka ataupun di media sosial tidak senantiasa dihargai.

Ini boleh dilihat dalam kes #DengkiKe di mana interaksi ini dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang biadab atau yang beragenda subversif.

Tambah beliau, penguatkuasaan yang lemah serta tindakan yang longgar yang diambil terhadap gerakan anti-monarki sebelum ini menyebabkan wujudnya pemikiran “tidak mengapa menyerang institusi Raja-Raja”.

“Kesan daripada tiada atau longgarnya tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap aktiviti-aktiviti anti monarki sebelum ini contohnya seperti rakaman video Wanji Wan Hussin yang tular sebelum ini di mana beliau mensasarkan 2030 untuk menjayakan misi “zero-sultan”, beliau bukan sahaja tidak didakwa, malah telah dilantik sebagai Duta Rahmah ketika zaman Menteri Agama PH! Bukan itu sahaja, beliau juga diberikan tauliah mengajar agama ketika zaman Mufti Wilayah Persekutuan yang dahulu (Menteri Agama sekarang).”

Tegas Ustaz Engku yang merupakan Pengarah HatiMurni Sdn Bhd (HatiMurni Enrichment Transit Centre) ini, apa yang menyebabkan wujudnya gerakan untuk menggulingkan sistem Raja-Raja Melayu ini pertamanya adalah, agenda golongan berkepentingan yang merasakan kewujudan dan keutuhan Institusi Raja-Raja menjadi batu penghalang kepada cita-cita dan agenda mereka.

“Kedua, golongan yang terikut-ikut dengan sentimen dan persepsi negatif terhadap kedudukan seseorang raja itu sendiri dengan merasakan bahawa tidak adil untuk seseorang itu menjadi ketua atau kepala negeri semata-mata kerana orang itu merupakan keturunan kepada ketua sebelumnya.”

Selain itu, ujar beliau, ia adalah kerana kejahilan dan ketidakfahaman tentang sejarah dan fungsi institusi Raja-Raja di Malaysia yang mendorong sebahagian rakyat Malaysia memandang lekeh peranan institusi ini, lalu mendorong mereka lantang mempersoalkan kewujudan institusi beraja.

Ditanya adakah gerakan ini gerakan terancang atau ia sebenarnya kebangkitan rakyat yang sudah penat dilayan berat sebelah, Engku Fadzil berpendapat, ianya kombinasi antara kedua-dua faktor, bukan salah satu daripadanya.

Tegasnya, gerakan anti-monarki ini ada sedikit didorong oleh sentimen sebahagian rakyat yang gopoh dan gelojoh menolak institusi Raja-Raja akibat kejahilan mereka sendiri memahami asas dan peranan institusi ini, tetapi secara dominan digerakkan oleh gerakan berkumpulan secara terancang yang ingin meruntuhkan institusi ini demi mencapai objektif-objektif mereka yang terhalang oleh kewujudan institusi Raja-Raja.

Tambah beliau, sesiapa yang mengkaji pergerakan perkongsian ciapan di Twitter menularkan #DengkiKe secara negatif, akan dapat melihat kenaikan secara mendadak yang lebih konsisten dengan penularan terancang, berbanding dengan penularan organik yang kenaikannya biasanya lebih landai dan bukannya secara “sudden spike” sebagaimana yang berlaku di dalam kes ini.

 

 

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button