Denggi: Negeri Sembilan Catat Lonjakan 580 Kes
SEREMBAN, 10 Mac 2023 – Negeri Sembilan mencatatkan lonjakan sebanyak 580 kes denggi iaitu sebanyak 194.4 peratus dalam tempoh Januari hingga 4 Mac baru-baru ini berbanding sebanyak 197 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, S. Veerapan, dalam jumlah tersebut, Seremban merekodkan jumlah tertinggi iaitu 470 kes yang diikuti oleh Jempol (45), Port Dickson dan Tampin yang masing-masing mencatatkan 19 kes, Jelebu (15), Rembau (7) dan Kuala Pilah (5).
Dalam masa yang sama, daerah Tampin mencatatkan lonjakan peratusan kes sehingga 533.3 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak tiga kes sahaja.
BACA JUGA: Kerajaan PH-BN: Pemerhati Dakwa Sokongan Undi Melayu Makin Menipis
BACA JUGA: Musang King Haram: Tanah Orang Asli Perak Diceroboh
BACA JUGA: Elak Kahwin Muda: Kerajaan Bakal Gubal Undang-Undang Wajib Ke Sekolah Menengah
Peratusan itu diikuti daerah Jempol yang mencatatkan 350 peratus berdasarkan 45 kes berbanding 10 kes pada tahun lalu serta daerah Seremban sebanyak 195.6 peratus berdasarkan 470 kes yang dicatatkan berbanding 159 kes pada tahun sebelum ini.
Menerusi perkara ini, beliau memaklumkan sebanyak 88 kes secara keseluruhannya yang direkodkan di seluruh negeri untuk minggu kesembilan iaitu dari 26 Februari hingga 4 Mac.
Walau bagaimanapun, tiada kes kematian yang dilaporkan dalam minggu semasa sekali gus menjadikan kes kumulatif kematian akibat daripada demam denggi adalah satu kes.
Jelas beliau, masih terdapat 15 lokaliti wabak yang masih aktif iaitu 13 di Seremban serta dua lagi di Jempol.