Demo Tudung Iran Merebak Ke Indonesia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
INDONESIA, 12 Oktober 2022 – Para aktivis di Indonesia mendakwa bahawa mereka juga bertindak atas nama kemanusiaan dalam menyertai solidariti sedunia dalam memberi sokongan terhadap wanita-wanita di Iran.
Beberapa aktivis di Indonesia pada awal bulan ini telah mengadakan protes berskala kecil di hadapan kedutaan Iran di Jakarta, di mana mereka telah bertindak meletakkan bunga di hadapan pagar kedutaan tersebut dan memegang sepanduk yang bertulis “Solidariti buat Mahsa Amini”.
Salah seorang aktivis tersebut, Ririn Sefsani menyatakan kepada pihak media bahawa mereka ingin mendapatkan perhatian agar orang ramai mengetahui bahawa perkara yang terjadi di Iran adalah sebuah isu antarabangsa, isu yang melibatkan semua negara dan solidariti hendaklah diwujudkan di atas nama kemanusiaan. Menurutnya lagi,
“Dunia mesti masuk campur, keganasan di Iran harus dihentikan dengan tindakan sedunia.”
“Walaupun tindakan pertama kami ini hanya melibatkan beberapa orang, tetapi kami merasakan bahawa kami tetap melakukan sesuatu dan saya berharap tindakan kami ini akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama.”
Sefsani juga turut menyatakan bahawa beliau sedang dalam usaha menganjurkan sebuah lagi majlis bantahan dalam menunjukkan sokongan terhadap wanita-wanita di Iran, yang dijangka akan diadakan pada bulan ini.
Protes di Iran telah merebak sejak dari pertengahan September sehingga ke 80 buah bandar, setelah kematian Mahsa Amini, seorang wanita berusia 22 tahun yang ditahan oleh pihak berkuasa moral Iran setelah beliau didakwa dengan tuduhan mendedahkan rambutnya.
Berkenaan protes besar-besaran di Iran itu, Amnesty International telah menyatakan bahawa pihak keselamatan Iran bertanggungjawab di atas kematian serta kecederaan yang berlaku, kerana menurut mereka, pihak tentera telah menggunakan peluru hidup, palet besi serta gas pemedih mata terhadap para penunjuk perasaan.