Tempatan

Demo Sejuta Rakyat: Tidak Cukup Peritkah Detik Hitam Tahun 1969? – Sultan Johor

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JOHOR BAHRU, 24 Jun 2022 – “Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada tahun 1969, dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih?”

“Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita…tiada yang menang. Semuanya akan rugi dan kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu.”

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah demikian kepada Royal Press Office (RPO).

Secara tegas baginda bertitah bahawa perhimpunan jalanan sebagaimana dicadangkan oleh seorang pemimpin DAP, bukannya cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

Oleh yang demikian, baginda Tuanku Sultan bertitah, suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada Kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

“Undang-undang negara kita mesti dihormati. Janganlah buat kenyataan berbaur hasutan kerana ia tidak membantu, sedangkan ada banyak saluran yang lebih membina untuk menyuarakan pandangan.”

Dalam pada itu, DYMM Sultan Johor juga bertitah perhimpunan jalanan akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara, menakutkan pelabur asing dan merencatkan permulihan negara daripada pandemik COVID-19.

“Janganlah buat perhimpunan sebegini. Pertumbuhan negara kita mesti dipupuk melalui dialog yang matang, bukan tindakan yang akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara,” titah baginda.

Baru-baru ini, anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali mengeluarkan kenyataan menyeru rakyat Malaysia untuk beramai-ramai turun ke jalan raya sebagai tanda protes terhadap Kerajaan dalam isu kenaikan kos sara hidup.

 

“Bayangkan kalau sejuta rakyat berhimpun di ibu kota. Paling tidak Kerajaan akan membuka mata. Sejuta rakyat perlu berhimpun untuk mengejutkan pemimpin negara daripada terus tidur.”

Leave a Reply

Back to top button