Demo Mahsa Amini – Campur Tangan AS Burukkan Keadaan, Amat Dikesali
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
NEW YORK, 26 September 2022 – Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdolaahian pada Ahad lalu telah mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) dalam cubaan campur tangan terhadap urusan tempatan Iran serta hasutan bagi mewujudkan rusuhan dan ketidakstabilan di negara tersebut setelah kematian seorang gadis Iran baru-baru ini.
Bersama rakan sejawatnya dari Iraq, Fuad Hussein, Amir-Abdollahian telah mengatakan bahawa AS telah mengambil kesempatan untuk merosakkan kestabilan Iran, mengorbankan nyawa rakyat Iran menggunakan senjata sendiri dan seterusnya meletakkan kesalahan tersebut kepada kerajaan Iran.
Amir-Abdollahian juga telah menyatakan bahawa protes aman adalah hak asasi mana-mana bangsa, namun beliau pada masa yang sama turut mewaspadai akan beberapa pegawai AS yang membuat kenyataan bersifat campur tangan mengenai protes tersebut.
Sebelum ini, beberapa siri protes telah berlaku di bandar-bandar di Iran berikutan kematian Mahsa Amini, seorang gadis Iran yang mati di hospital beberapa hari setelah pengsan di sebuah balai polis di Tehran.
Ketika itu Amini dan beberapa orang tempatan yang lain sedang menjalani proses pembelajaran mengenai undang-undang pemakaian.
Amir-Abdollahian mengeluarkan kenyataan demikian ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kali ke-77 di New York.
Menteri Luar Iran itu juga turut mendakwa bahawa pendekatan Washington terhadap rusuhan atau protes tersebut adalah bertentangan dengan mesej yang sering dilaungkan oleh White House berkenaan keperluan untuk bekerjasama dengan Tehran bagi mencapai kestabilan dan keselamatan merentasi rantau itu.