Demi Peperiksaan, Pelajar Bergadai Nyawa Paut Batang Besi Seberangi Sungai Deras
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KENINGAU, 29 Julai 2022 – Tular sebuah video memaparkan beberapa orang pelajar yang dilihat sanggup bergadai nyawa menyeberangi arus sungai deras dengan hanya berpaut pada laluan batang paip besi demi menghadiri peperiksaan.
Kejadian di Kg Mansiang Baru, Sabah.
Sungai deras macam tu, kalau pandai berenang pun bahaya.
Gaji Ketua Menteri Sabah baru naik dari RM23,585 kepada RM33,033 sebulan.
Tapi anak-anak Sabah kena panjat paip lintas sungai. Apa nak jadi ni? pic.twitter.com/Ozvr8Z6VpH
— luqmanlong (@luqmanlong) July 28, 2022
Menerusi perkongsian Siti Hafizah Leezah di Facebook, kejadian ini difahamkan berlaku di Kampung Mangsian Baru Keningau, Sabah.
Menurutnya, saluran paip air itu terpaksa digunakan setiap kali musim hujan walaupun terpaksa mengambil risiko kerana laluan biasa ditenggelami air.
“Macam biasa kalau hujan mesti air besar, jalan alternatif lain terpaksa jalan di besi paip biru tu tapi ketinggian air bila air sungai besar waktu hujan boleh sampai 10-12 kaki tinggi.”
Kekesalan dengan situasi yang berlaku memaksa Hafizah untuk memuat naik video berdurasi 92 saat itu.
Katanya, penduduk setempat telah memohon jambatan gantung baru namun masih tiada tindakan yang ambil oleh pihak berkuasa.
“Setiap kali musim hujan, terpaksa mengambil risiko melalui paip itu, biar pun licin.”
“Sudah dimohon jambatan gantung, dan wakil rakyat bertanggungjawab sudah memberi janji, jambatan akan dibuat pada April lalu.”
“Kami sebagai penduduk, lega dan gembiranya dengan janji itu.”
“Tetapi tunggu punya tunggu, sekarang bulan Julai, belum ada tanda-tanda pembinaan.”
Susulan tularnya video tersebut, Wakil Rakyat Tulid, Flovia Ng, memaklumkan pembinaan jambatan gantung baharu di kampung itu baru sahaja mendapat kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah pada 3 Jun lalu.
Katanya, pembinaan akan dilakukan dalam masa terdekat sebaik sahaja proses tender projek diserahkan pihak kontraktor dilantik nanti.
“Dokumentasi tender di peringkat akhir pada ketika ini, saya mohon penduduk supaya bersabar untuk seketika,” katanya.