Tempatan

Demi Palestin: Agong Titah Muslim Buat Solat Hajat

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2021 – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan masjid dan surau di negara ini serta menyeru rakyat di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT selepas solat fardu Maghrib esok, 17 Mei, 2021 bagi memohon ihsan daripada Allah S.W.T untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat Rejim Israel.

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui bersama-sama Indonesia dan Brunei mengeluarkan satu kenyataan sebulat suara mengutuk serangan Zionis Israel ke atas Palestin.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda turut menegaskan kerajaan negara ini mengalu-alukan cadangan persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan bagi membincangkan isu tersebut yang dijadualkan hari ini.

“Rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin, ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota Palestin,” titah baginda.

“Ini juga adalah selari dengan pendirian dan prinsip Kerajaan Malaysia yang tidak berbelah bahagi menyokong usaha-usaha penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa.”

Oleh yang demikian, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button