Tempatan

Demi Al-Aqsa: MAIPs Arah Semua Masjid Dan Surau Baca Qunut Nazilah

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KANGAR, 11 Mei 2021 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjunjung titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail agar semua masjid di negeri Perlis mula membaca Qunut Nazilah demi keselamatan rakyat Palestin yang sedang diserang tentera Israel ketika ini.

Oleh itu, semua masjid di negeri itu diarahkan membaca Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap solat fardu selama dua hari, bermula solat Subuh hari ini.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, “Dengan bertauhid dan bertawakal kepada Allah, adalah dengan ini diperintahkan kepada semua masjid-masjid di Perlis untuk membacakan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat lima waktu selama dua hari dan dua malam (11 dan 12 Mei) bermula dari waktu Subuh hari ini.”

Tambah baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs, pencerobohan dan serangan tentera Zionis itu adalah tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas tempat ketiga paling suci bagi umat Islam.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Perlis tercinta agar turut mendoakan kesejahteraan dan keselamatan buat saudara kita di Palestin,” titah baginda lagi.

Al-Aqsa kembali berdarah setelah polis Israel bertindak menyerang rakyat Palestin dengan bom tangan ketika mereka sedang menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Aqsa pada hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan, minggu lalu.

Ketegangan meningkat setelah puluhan ribu rakyat Palestin memprotes tindakan Israel mengusir keluar penduduk Palestin dari rumah mereka dan mewujudkan penempatan haram baharu Israel.

Terbaru, lebih 200 penduduk Palestin dilaporkan cedera dengan kira-kira 50 daripadanya terpaksa dikejarkan ke hospital hari ini selepas pasukan tentera Israel melepaskan gas pemedih mata, tembakan peluru getah, malah membaling bom ke arah mereka apabila rejim Zionis menyerbu Masjid al-Aqsa dan menyerang rakyat Palestin. ()

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button