Demam Denggi Dijangka Meningkat Menjelang PRN, Raya Haji
TANAH MERAH, 23 Jun 2023 – Kes demam denggi dijangka akan meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang susulan pergerakan keluar masuk penduduk ke negeri Kelantan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Husin berkata, ramalan itu relevan memandangkan bilangan kes denggi di negeri itu meningkat dengan lonjakan sebanyak 830 kes iaitu 251.7 peratus bagi tempoh bulan Januari sehingga 17 Jun lepas berbanding 236 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
BACA JUGA: Pelaburan Scam: SSM Ada Kuasa Untuk Tangkap, Lebih RM1 Juta Lesap
BACA JUGA: Isu Sekolah Islam Persendirian: MBSA & MBSJ Beri Tekanan – GASIS
BACA JUGA: eBeliaRahmah RM200 Daftar Isnin Ini, Guna Sampai 31 Ogos
“Keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini yang diselang-seli dengan hujan dan panas merupakan keadaan kondusif untuk nyamuk Aedes membiak sekali gus menjadi risiko kepada penularan demam denggi.”
“Oleh itu, semua pihak disarankan supaya sentiasa memeriksa dan memastikan kawasan di persekitaran kediaman rumah seperti lorong belakang, kawasan kebun tanaman serta tanah lot kosong yang berhampiran bebas dari bekas-bekas berpotensi yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.”
Jelasnya, tindakan proaktif untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes dapat menyelamatkan diri, keluarga, komuniti dan seluruh masyarakat dari ancaman demam denggi yang boleh meragut nyawa.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Sambutan Hari Denggi ASEAN dan Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Masjid Iktikaf Manal Jaya 2, pada Khamis.
Dalam pada itu, Dr Zaini memaklumkan inisiatif One Hour Malaysia Clean Up merupakan salah satu daripada komponen advokasi dan mobilisasi sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan persekitaran bagi mencegah daripada berlakunya peningkatan penyakit berkaitan persekitaran terutama demam denggi.
Beliau berharap agar usaha ini disambut baik oleh masyarakat untuk turut melakukan aktiviti gotong-royong secara sukarela selama satu jam setiap bulan di setiap kawasan perumahan, tempat kerja dan institusi pendidikan bagi menghapuskan tempat pembiakan Aedes.