Iqtisad Pribumi

Dekonstruksi KWSP: Pinjam Cagar Jika Bukan Untuk Kaya, Ia Kerja Gila! – Hezri Sardi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Dekonstruksi KWSP

Baru baru ini, Perdana Menteri mencadangkan supaya pencarum yang terdesak nak duit, mencagarkan simpanan KWSP mereka untuk dapatkan pinjaman. Saya tak nak sentuh soal undang-undang dan Akta KWSP kerana oleh sebab Kerajaan selalu kata ada majoriti 2 per 3, jadi akta KWSP pun mereka patutnya boleh ubah.

Cuma cadangan mencagarkan simpanan KWSP itu bermasalah besar. Hutang, pinjaman ialah “leverage”. Tujuan leverage ialah untuk mendapat kekayaan tambahan. Kalau seseorang pinjam duit bank, misalnya, tujuannya mestilah untuk dapatkan kekayaan tambahan. Kalau ia bukan untuk dapat kekayaan tambahan, maka pinjaman adalah kerja gila!

Justeru persoalan ialah adakah pinjaman bercagar KWSP mendatangkan kekayaan kepada pencarum? Untuk menjawab soalan itu, kita kena tanya betul-betul adakah simpanan KWSP adalah satu kekayaan sebenar. Memang daripada segi kewangan peribadi atau perakaunan, simpanan KWSP adalah aset. Secara intuitive, aset seolah-olah kekayaan. Tapi yang kita nak tahu adakah simpanan KWSP satu kekayaan sebenar daripada segi ekonomi.

Dalam ekonomi dunia, ada satu istilah yang dipanggil “Sovereign wealth fund” (dana kekayaan). Ia satu dana duit yang ada nama “kekayaan” (wealth).

Ada 3 badan rasmi antarabangsa yang memberi definisi kepada dana kekayaan tadi. Tabung Matawang Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Pembangunan (OECD), dan akhir sekali Forum Antarabangsa untuk Dana Kekayaan Berdaulat (IFSWF).

Menurut IFSWF dan IMF, dana kekayaan mesti dalam bentuk matawang asing. Maknanya, kalau sesebuah dana kekayaan Malaysia, ia mesti dalam matawang asing. Contoh dana kekayaan ialah Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang diperoleh daripada eksport import minyak.

IFSWF dana kekayaan boleh datang daripada lebihan Belanjawan Kerajaan (cukai tolak belanja fiskal) tetapi ia mesti dalam bentuk matawang asing. Tetapi oleh sebab hampir semua negara dunia cetak duit sendiri melalui terbitan bon Kerajaan, definisi IFSWF ini mustahil dicapai dalam dunia sebenar.

Sebab itu, definisi dana kekayaan IMF lebih jelas iaitu ia mesti bukan datang daripada belanjawan fiskal Kerajaan. OECD pula beri definisi lebih jelas iaitu apa yang datang daripada cukai Kerajaan tak boleh dianggap sebagai dana kekayaan.

Jika dikaji, dana-dana persaraaan di hampir semua negara tidak dipanggil dana kekayaan. Dana persaraan yang dipanggil dana kekayaan hanya New Zealand Superannuation Fund. Itu pun ia bukan datang daripada gaji pencarum dan pekerja. Ia datang daripada Kerajaan New Zealand sendiri. Di Malaysia, KWSP (pekerja swasta) mahupun KWAP (pekerja awam) bukan duit Kerajaan tetapi duit gaji pekerja. Daripada segi definisi IMF, IFSWF dan OECD, KWSP bukan dana kekayaan. Satu lagi, matawang New Zealand ialah “hard currency”, pernah menjadi top 10 dalam matawang paling banyak digunakan di dunia. Simpanan dalam hard currency seperti definisi tadi adalah ciri-ciri dana kekayaan.

Oleh itu, cadangan mencagarkan simpanan KWSP untuk dapatkan duit adalah tak betul kerana KWSP bukan dana kekayaan.

Menurut Akta KWSP 1991 Seksyen 27 (1), dividen paling kurang dijamin pada 2.5% setahun. Ini saja campur tangan Kerajaan dalam simpanan KWSP. Boleh dikatakan jika dibandingkan dengan kebanyakan negara dunia, KWSP kita adalah paling kurang subsidi Kerajaan dan jaminan sosial. Di negara-negara lain termasuk Amerika yang ada subsidi dan bantuan kerajaan dalam dana persaraan, dana persaraan tak dilihat sebagai dana kekayaan, malah dana persaraan bukan semata-mata dana pelaburan.

Di Singapura, Central Provident Fund (CFP) ada pelbagai subsidi daripada duit kerajaan, malah ia digabungkan sekali dengan skim perumahan dan insurans. OECD selalu mengeluarkan laporan tentang dasar dana persaraan di negara-negara dunia. Dari situ, kita tahu yang dasar persaraan negara kita seperti KWSP dan KWAP adalah macam “pembaris”. Mati-mati pun Kerajaan tak nak bagi keluar walaupun kalau tak keluar pun, tetap tak akan cukup masa bersara kelak. Paling ekstrem bila Kerajaan cadang pencarum pinjam duit demgan cagarkan simpanan KWSP. KWSP bukan dana kekayaan, macam mana nak dicagar?

Kalau kena caj Interest atas pinjaman KWSP tadi, itu pun satu hal. Tapi yang lebih asas lagi, adalah simpanan KWSP bukan dana kekayaan, langsung tak sesuai untuk dicagarkan. Banyak negara Kerajaan buat pelbagai subsidi untuk memaksima manfaat pencarum. Kita, manfaat Kerajaan tiada, sekarang nak kena cagar lagi?

Hezri Sardi

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: