Deklarasi Bubar Parlimen Hanya Motif Politik – PM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2022 – “Tujuan yang kolateral dan terselindung dalam tindakan ini dipohon hanyalah bertujuan politik,” demikian menurut Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri dan pihak Kerajaan.
Ini adalah merujuk kepada sebuah saman oleh Ahli Parlimen DAP Charles Anthony Santiago yang menamakan Dato’ Sri Ismail Sabri (Perdana Menteri), Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut deklarasi bahawa pembubaran Parlimen adalah tidak sah.
Dalam pada itu, tindakan Ahli Parlimen tersebut selain didakwa untuk menghalang tugas defendan ketiga (SPR) dalam menjalankan tugasnya menurut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pilihan raya, ia juga jelas suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Tambah Perdana Menteri dan pihak Kerajaan, dakwaan Charles Santiago bahawa hanya UMNO mahu Parlimen dibubarkan dan ramai Ahli Parlimen tidak bersetuju adalah tidak relevan dengan kuasa Perlembagaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen.
Ini kerana pihak Perdana Menteri mendakwa mahkamah tiada kuasa untuk mendengar tindakan undang-undang itu kerana kuasa YDPA untuk membubarkan Parlimen bukanlah perkara yang boleh dicabar di mahkamah.
“Apabila meneliti kenyataan media tersebut, saya juga mendapati bahawa Agong telah menjalankan kuasa prerogatifnya di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan secara bijaksana dengan menzahirkan harapan bahawa PRU-15 perlu diadakan dalam tempoh terdekat sebelum Monsun Timur Laut yang diramal bermula pada pertengahan November 2022.”
“Ini menunjukkan sifat keprihatinan dan cakna Agong dalam mengambil kira faktor kebajikan rakyat walaupun ia bukanlah suatu keperluan di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan untuk berbuat demikian.”
Justeru, beberapa hari kemudian, tiga defendan yang dinamakan Ismail Sabri, Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.
Afidavit Ismail Sabri dan Kerajaan itu difailkan bagi menyokong permohonan pembatalan tindakan undang-undang Charles Santiago yang memohon perintah mahkamah agar PRU tidak diadakan tahun ini.