Debat Umur Persaraan 70 Tahun Di Jerman
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BERLIN, 31 Ogos 2022 – Jerman merekodkan peningkatan jumlah kekosongan jawatan pada suku pertama tahun ini kepada 1.74 juta jawatan terbuka, rekod tertinggi sejak penyatuan semula Jerman 30 tahun lalu.
Pada masa yang sama, menurut Pejabat Perangkaan Persekutuan, peratusan golongan muda berumur antara 15 dan 24 tahun juga direkodkan kurang berbanding penduduk yang berumur 65 tahun ke atas.
Perkara ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada negara tersebut, ditambah lagi dengan kadar kelahiran negara terlalu rendah untuk mengimbangi peralihan umur.
Bagi menyelesaikan masalah itu, cadangan untuk menaikkan umur persaraan kepada 70 tahun telah dikemukakan.
Presiden Persekutuan Persatuan Majikan Jerman dalam Industri Kejuruteraan Logam dan Elektrik Stefan Wolf menggesa langkah ini pada awal Ogos.
Namun, perkara ini dibidas oleh kumpulan sosial dan sayap kiri yang menggelar cadangan itu sebagai ‘omong kosong anti-sosial’.
Johannes Rausch, dari Ekonomi Penuaan Pusat Munich berkata, menaikkan umur persaraan mungkin langkah yang tidak popular, tetapi lambat laun langkah ini akan diambil juga apabila Jerman terperangkap di tengah-tengah perubahan demografi.
OECD juga meramalkan bahawa purata umur persaraan bagi orang biasa dalam pekerjaan berterusan akan meningkat kepada 66.1 tahun untuk lelaki dan 65.5 tahun untuk wanita.
Pada masa ini, Jerman sedang dalam proses meningkatkan secara beransur-ansur umur persaraannya daripada 65 tahun kepada 67 tahun bagi mereka yang lahir selepas 1967.