Daun Ganja Berisiko Untuk Diseludup, Penyeludup Guna Benih Ganja Pula
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KANGAR, 23 Julai 2022 – Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad mengatakan pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa penyeludup akan menyeludup benih ganja pula masuk ke negara ini disebabkan daun ganja atau ganja yang telah diproses lebih berisiko untuk diseludup.
Ujar beliau, biji benih ganja lebih mudah untuk disembunyikan berbanding pokok ganja yang memerlukan pencahayaan matahari yang baik sekali gus menjebak risiko dilihat oleh orang awam.
“Penyeludup dadah atau ganja ini sudah pasti akan berusaha mengurangkan risiko ditahan semasa melakukan aktiviti terlarang itu,” kata beliau.
Katanya, permintaan daripada penagih-penagih tempatan telah menjadikan aktiviti penyeludupan dadah ini kian meningkat dan menjadikan penyeludup mahupun pengedar menggunakan segala cara bagi melepasi sempadan negara.
Bahkan tambah beliau, penduduk tempatan juga berkemungkinan untuk cuba menanam pokok-pokok ganja tersebut secara persendirian bagi memenuhi keperluan penagih ganja tempatan ini.
Lapornya pada akhbar Utusan, terdapat penyeludup disyaki bersubahat dengan penduduk tempatan yang tinggal di kawasan berhampiran sempadan untuk mengaburi kegiatan mereka.
Justeru, beliau mengingatkan bahawa mana-mana individu yang memiliki dadah ganja melebihi 200 gram boleh dituduh di bawah Seksyen 39B akta sama dan boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup.