Dasar Generasi Penamat Akan Diteliti Semula – Dr Zaliha Mustafa
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 Disember 2022 – Pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG) akan diteliti semula menerusi Rang-Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
“Dasar GEG itu ada baiknya secara umum bagi saya, tetapi saya perlu lihat dari segi pelaksanaannya. Pelaksanaan itu apabila kita nak sampai ke sesuatu keputusan, kadang-kadang tidak boleh drastik. Itu saya akan tengok,” ujar beliau sewaktu menjadi tetamu di program Bersama Pemimpin hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyatakan bahawa dasar yang dirangka oleh pentadbiran terdahulu akan diteruskan sekiranya ia baik dan tidak bermasalah.
Dasar tersebut termasuklah RUU berkaitan GEG yang dibawa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang sebelum ini dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Ketika itu, Khairy Jamaluddin.
Memetik kepada sebuah berita, RUU GEG ini bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuklah rokok elektronik atau vape kepada individu yang dilahirkan pada 1 Januari 2007 dan tahun seterusnya.