Dasar Ekonomi Kurang Jelas Antara Punca Orang Melayu Tidak Puas Hati
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2023 – Dasar ekonomi Kerajaan yang tiada hala tuju menjadi antara punca orang Melayu tidak berpuas hati dengan pentadbiran sedia ada, ujar Khairy Jamaluddin.
Lapor portal tempatan, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sukar mendapatkan sokongan orang Melayu berbanding ‘gelombang hijau’ yang dibawa Perikatan Nasional.
“Apa yang berlaku di Malaysia hari ini adalah sedikit lebihan kebangkitan ekstrem ‘gelombang hijau’ daripada ungkapan rasa tidak puas hati yang tulen dalam masyarakat Melayu yang melangkaui isu 3R (Race, Religion, Royalty),” ujarnya.
BACA JUGA: ADUN Tupong Pertahan Projek Tiang Bendera Sarawak Bernilai RM30 Juta
BACA JUGA: Usaha Gugat Pengerusi SUHAKAM Mesti Dihentikan, Siasat NGO Penerima Dana Asing – Hj Aminuddin Yahaya
Menurut beliau, sejak 7 bulan lalu, terdapat kekurangan hala tuju ekonomi yang jelas, bahkan ringgit terus lemah dan krisis kos sara hidup terus menghakis kuasa beli rakyat.
Tegasnya lagi, “Kemarahan orang Melayu yang ketara ini dikuatkan dengan sikap hipokrit pentadbiran sekarang, yang bercakap tentang menghapuskan rasuah dan menegakkan tadbir urus yang baik tetapi menanggung kepimpinan UMNO yang tercemar.”
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata demikian ketika merujuk kepada keputusan Anwar Ibrahim melantik Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang Timbalan Perdana Menterinya.
Dikatakan, Zahid menghadapi 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pertuduhan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi serta dakwaan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi Menteri Dalam Negeri antara 2013 dan 2018.