Pendapat

RISIKO NASIHAT EKSEKUTIF DALAM PENGGUBALAN ORDINAN DARI SUDUT TADBIR URUS YANG BAIK – Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Kuasa perundangan Persekutuan terletak hak pada Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dengan dua buah Majlis Parlimen iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Inilah badan perundangan Persekutuan yang dinyatakan oleh Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip pemisahan cabang kuasa di bawah Perlembagaan menetapkan had batasan legislatif, eksekutif dan Kehakiman. Justeru dilihat dalam Perkara 40(1) terdapat pengecualian, bahawa nasihat Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong tidaklah dalam semua perkara.

Dalam tempoh darurat, Parlimen dibenarkan menggubal ordinan dan undang-undang yang dinamakan akta masing-masing di bawah Perkara 150(2B) dan Perkara 150(5). Ordinan di bawah Perkara 150(2B) boleh digubal oleh Yang di-Pertuan Agong bersendirian jika pada ketika itu Parlimen tidak bersidang serentak serta timbul kesegeraan (urgency). Namun begitu setiap proklamasi dan darurat hendaklah dibentangkan di kedua-dua buah Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebelum sebarang keputusan untuk membatal atau mengungkaikannya boleh diambil.

Perkara 150(3) memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan manakala ordinan jika tidak dibatalkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong boleh diungkai oleh resolusi kedua-dua buah Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Keputusan untuk membatal dan mengungkai suatu ordinan adalah jatuh di bawah kuasa Parlimen. Dalam hal ini, Perkara 150(3) hendaklah dibaca bersama dengan Perkara 44, tanpa campur tangan Jemaah Menteri. Kuasa penggubalan dan pindaan untuk membatal dan mengungkainya hendaklah dibuat oleh Parlimen kerana itu diperuntukkan oleh Perkara 44.

Pemisahan kuasa di atas merupakan prinsip yang menjadi tanggungjawab Mahkamah untuk menyemak had batasan kuasa di antara Parlimen dan Jemaah Menteri. Prinsip pemisahan cabang kuasa dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya (2017) ialah salah satu struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang terpelihara.

Justeru, dalam penggubalan mahupun pembatalan dan pengungkaian suatu ordinan, kuasanya adalah jelas bidang kuasa perundangan Persekutuan, iaitu Parlimen. Kedudukan itu tidak diberi pengecualian di bawah Perkara 150.

Terdapat penetapan pemisahan cabang kuasa di antara legislatif dengan fungsi kuasa eksekutif di dalam Perkara 150. Ketika Yang di-Pertuan Agong membuat proklamasi darurat, Baginda melaksanakan fungsi kuasa eksekutif di bawah Perkara 150(1) atau (2) yang dibaca bersama dengan Perkara 39. Namun begitu, dalam penggubalan ordinan dan akta termasuklah pembatalan dan pengungkaiannya, itu adalah kuasa perundangan. Lantaran Perkara 150(2B), (3) dan (5) hendaklah dibaca bersama Perkara 44.

Jemaah Menteri diletakkan dalam had batasan fungsi kuasa eksekutif sahaja, dan boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong berdasarkan peruntukan undang-undang. Jemaah Menteri tidak boleh mencerobohi bidang kuasa perundangan yang terletak hak pada Parlimen.

Jika Yang di-Pertuan Agong terikat dengan nasihat Jemaah Menteri dalam penggubalan dan pembatalan suatu ordinan, itu boleh membawa keadaan badan Eksekutif mencerobohi bidang kuasa badan Perundangan melalui pintu belakang. implikasinya kemungkinan boleh berlaku perkara-perkara berikut:

1. Jemaah Menteri menyalahgunakan kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150(2B) dan (3);

2. Ordinan boleh digubal untuk mengakibatkan sidang Parlimen ditangguhkan tanpa batasan waktu, usul ahli bukan Kerajaan untuk menyemak ordinan tidak dibenarkan, kuasa-kuasa dipusatkan kepada Jemaah Menteri, perbelanjaan negara tidak dikawal, pelbagai halangan diperkenalkan untuk mengekalkan kerajaan yang tidak lagi punya mandat dan campur tangan tidak sihat dalam pentadbiran Kehakiman berlaku.

Perkara-perkara di atas tidak mustahil berlaku kerana Yang di-Pertuan Agong hanya boleh memanggil, memprog dan membubar Parlimen bergantung pada nasihat Jemaah Menteri, melainkan dalam keadaan Perdana Menteri telah hilang kepercayaan dan kelayakan. Begitu juga halnya dalam penetapan suatu usul, usul Kerajaan diutamakan.

Keadaan sedemikian pastinya satu amalan tidak baik yang boleh mendedahkan negara kepada risiko salah guna kuasa, percanggahan kepentingan dan pentadbiran diktator yang akhirnya mengakibatkan kemarahan rakyat, pemerintahan tidak adil dan menjejaskan keamanan dalam Persekutuan.

Lebih parah lagi, Jemaah Menteri boleh menggunakan perlindungan di bawah Perkara 150(2C) dan (8) untuk tidak dipersoal oleh Mahkamah, akhirnya musnahlah mekanisme semak imbang dan integriti dalam pentadbiran negara.

Berbeza sekiranya kuasa perundangan di bawah Perkara 150(2B) dan (3) terletak pada Yang di-Pertuan Agong tanpa terikat dengan nasihat Jemaah Menteri. Sebarang ordinan yang diperbuat oleh Baginda masih boleh disemak oleh Jemaah Menteri melalui usul di kedua-dua buah Dewan Rakyat dan Dewan Negara, maka akan ada pembentangan dan perbahasan.

Untuk merjelaskan senario di atas, Yang di-Pertuan Agong boleh mendapatkan pandangan banyak pihak dan menimbangkan permintaan Jemaah Menteri juga pihak-pihak lain dalam penggubalan ordinan, tetapi Baginda tidak terikat untuk menerimanya secara bulat-bulat. Ringkasnya perkenan Yang di-Pertuan Agong diperlukan bagi maksud penggubalan suatu ordinan termasuklah pembatalannya. Ordinan itu hendaklah dibuat dan boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua utama Persekutuan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan.

itulah yang dikatakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dari sudut penggubalan ordinan di bawah Fasal (2B) dan pembatalannya menurut Fasal (3) di bawah Perkara 150.

Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (ITKAS)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: