NGO

DARURAT PUNCA ORANG MELAYU DERHAKA PADA RAJA-RAJA MELAYU?

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Terkejut dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) secara terbuka semalam mengatakan orang Melayu kini sudah berani menderhaka apabila berkata; “Orang Melayu sekarang ini mula berasa marah kepada Raja-Raja dan kemarahan itu kita dapat ikuti dalam sosial media.” Kenyataan ini dibuat selepas penyerahan memorandum ‘Bubarkan Darurat’ kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.

2. Turut sama hadir pada 20 April 2021 jam 3.15 petang semalam beberapa Ahli Parlimen yang mendakwa mereka mewakili Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, antaranya Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (Ahli Parlimen Kota Raja) dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Presiden (Penaja) Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan wakil Parti MUDA. Majoritinya adalah dari ahli gabungan Pakatan Harapan (PH).

3. Tun M juga berkata keputusan untuk menamatkan darurat atau sebaliknya terletak di bahu Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Kenyataan ini seolah-olah menunjukkan rasa kecewa Tun M terhadap Raja-Raja Melayu (RRM), katanya; “Orang Melayu biasanya tidak menderhaka kepada Raja, tapi sekarang ini kita terpaksa sampaikan kepada Setiausaha iaitu orang Melayu sekarang ini mula berasa marah kepada Raja-Raja”. Dan Tun M sendiri merujuk kepada khabar-khabar dan berita-berita daripada media sosial apabila beliau berkata; “kemarahan itu kita dapat ikuti dalam sosial media.”

4. Persoalannya, betulkah majoriti orang Melayu benar-benar marah kepada RRM khususnya kepada YDPA atau sebenarnya hanya Tun M seorang bersama beberapa kerat daripada kalangan pemimpin PH yang gila kuasa sahaja, yang mahu merampas semula kuasa daripada kerajaan yang dikatakan ‘tebuk atap’ apabila kehilangannya secara otomatik berpunca daripada perbuatan khianat Tun M sendiri dengan meletakkan jawatan hingga menyebabkan kerajaan PH tumbang.

5. Anehnya Tun M bagai mahu menyalahkan orang Melayu dan YDPA apabila berkata; “This is very unusual for the Malay to go against their Rulers but it’s quite clear that very large numbers of Malay are now angry that they are suffering because of darurat”. Memang darurat ini menyusahkan tetapi tidaklah sampai mahu menderhaka kepada YDPA. Kerana rakyat tahu tindakan sewajarnya dilakukan saat pandemik COVID-19 ini sedang menular dalam negara ialah ketegasan mematuhi SOP mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

6. Negara sebenarnya memerlukan keputusan tegas daripada pihak KKM bagi membendungnya, dan darurat merupakan pilihan terbaik oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) setelah beberapa kali dinasihati oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tetapi diabaikan oleh kedegilan segelintir rakyat hingga menyebabkan keadaan tidak semakin pulih bahkan bertambah buruk.

7. Kelonggaran yang diberi oleh KKM telah disalahgunakan apabila ramai melanggar SOP yang ditetapkan. Dalam keadaan begini tidak mustahil musuh mengambil kesempatan menghasut dengan pelbagai propaganda supaya rakyat melanggar SOP kononnya COVID-19 ini adalah palsu, ia adalah agenda TSMY mengekalkan kuasa. Dalam masa yang sama mereka tular di media sosial mengatakan kerajaan PN gagal mengawal pandemik COVID-19. Dua bentuk propaganda pros and cons yang sengaja dicipta untuk menekan dan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

8. Keadaan kalut ini dapat dilihat di negeri Kelantan dan Sarawak, dengan statistik kadar jangkitan semakin meningkat. Namun ini bukan isu sebenar bagi PH. Mereka hanya mahukan Parlimen bersidang, kerana Anwar Ibrahim sudah bersedia dengan “sufficient numbers” untuk mengambil alih kerajaan. Bagi PH, Parlimen mesti bersidang bukan dibubarkan dengan alasan jika sekolah, kampus, pejabat, pasaraya boleh dibuka, mengapa tidak Parlimen.

9. Terbaru, muncul pula provokasi-provokasi menyerang institusi RRM dan mengheret baginda ke dalam kancah politik penuh kekalutan ini. Kelihatannya seperti ada pihak tertentu mahu melibatkan RRM sekaligus menggerakkan agenda memburukkan imej RRM ini kerana sehari sebelum penyerahan memorandum, Tuanku Permaisuri telah nyahaktif Instagram berikutan ramai netizen berlaku biadab selepas posting “dengki ke?” oleh Tuanku Permaisuri. Pautan rujukan: https://www.malaysiakini.com/news/571365.

10. Dan juga ulang tular kenyataan media oleh A. Kadir Jasin yang lama bagi menggambarkan kewujudan RRM ini hanya membazirkan wang negara, iaitu laporan oleh Malaysiakini pada 6 Jun 2018 yang dalamnya menceritakan tentang pembaziran perkhidmatan – dalam tempoh 6 bulan sahaja kerajaan terpaksa berbelanja sejumlah mencecah RM257 juta. Kenapa artikel tahun 2018 diulang tular semula?

11. Justeru, rakyat harus peka dan tenang serta bertindak bijak agar tidak cepat melatah dengan provokasi Tun Mahathir yang bijak membuat persepsi pelbagai dan memanipulasi suasana politik. Pihak istana pula perlu memberikan perhatian sewajarnya terhadap konflik politik negara hari ini, jangan diabaikan kerana ia sedikit sebanyak boleh memberi kesan terhadap institusi RRM ini.

12. Provokasi terhadap institusi RRM ini mengingatkan kita kepada video tular kes Wan Ji yang pernah mengatakan tahun 2030 mahu menjadikan negara ini sebuah Negara Republik. Mungkinkah kenyataan Tun M ini merupakan sebahagian daripada agenda ke arah itu? Mungkin juga ada kebenarannya kenyataan Tun M apabila RRM kini dilihat bagai tidak ambil peduli dengan keluhan dan kesengsaraan rakyat atau pegawai istana yang gagal menyampai maklumat sebenar apa yang sedang berlaku dalam negara?

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Aktivis MUAFAKAT
Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button