NGO

DARURAT PELUANG ULIL [email protected] YDPA UNTUK MEREALISASIKAN SUMPAH RABBANI

Sollu ‘alan Nabiy

15 JANUARI 2021

1. Telah berlaku Perisytiharan Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa, 12 Januari baru-baru ini yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021. Perisytiharan Darurat tersebut adalah dengan latar belakang gejala pandemik Covid-19 yang mencanak tinggi sehingga memberikan tekanan tinggi kepada infrastruktur serta operasi badan-badan kesihatan negara, sekaligus wujud ketidakstabilan politik dan ekonomi negara yang agak kritikal.

2. Apa yang sangat mengecewakan adalah dalam keadaan gawat seperti ini pun, masih ramai orang-orang politik yang masih terus berpesta politik dengan penuh keghairahan, seolah-olah mereka hidup di alam lain. Walhal, dari kalangan beberapa pucuk kepimpinan parti politik sedang menghadapi krisis kredibiliti serta integriti dengan kes-kes mahkamah atas pelbagai tuduhan salah laku dan korupsi yang melibatkan berjuta-juta hasil mahsul negara. Ini belum pun termasuk salah laku orang-orang politik yang melanggar prinsip perundangan dan Perlembagaan negara. Hal ini merupakan kezaliman serta pengkhianatan kepada institusi YDPA dan RRM sebagai Ketua Utama Negara dan negeri-negeri, serta rakyat jelata yang telah memberi AMANAH kepada ahli-ahli politik sebagai wakil mereka dalam Parlimen.

3. Saya ingin berkongsi kembali Lafaz Sumpah Jawatan YDPA dalam Perkara 37 Jadual 4, iaitu SUMPAH RABBANI “WALLAHI, WABILLAHI WATALLAHI…. DENGAN SESUNGGUH DAN SEBENARNYA MEMELIHARAKAN PADA SETIAP MASA AGAMA ISLAM DAN BERDIRI TETAP DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DI DALAM NEGERI. Manakala ahli Parlimen bersumpah untuk memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, antara prinsip utamanya adalah menjunjung kedaulatan YDPA dan Raja-raja Melayu, yang mana melalui punca kuasa Duli-Duli Yang Maha Mulia inilah yang mengabsah serta menginstitusikan sistem politik dan perundangan Negara, sekaligus kuasa-kuasa yang diwakilkan oleh YDPA kepada tiga cabang kuasa; Eksekutif, Legislatif dan Judisiari, bagi urus tadbir kerajaan Persekutuan di samping mengekalkan kuasa-kuasa tertentu pada negeri-negeri seperti peruntukan Jadual 9 (Wan Ahmad Fauzi, 2020).

4. Sebagai Ketua Utama Negara sekaligus Ketua Eksekutif, YDPA merupakan ULIL AMRI lapisan tertinggi dalam pemerintahan negara ini. Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang maksudnya : “Dialah yang menjadikan kamu orang yang berkuasa di muka bumi dengan silih berganti. Oleh itu sesiapa yang kufur ingkar, maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya sendiri. Dan orang yang kafir, kufurnya tidak akan menambahkan (kedudukan) mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan. Dan juga orang yang kafir itu, kufurnya tidak menambahkan mereka melainkan kerugian jua.” (Surah Fatir 35: 39)

Rasulullah SAW bersabda: “….Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.” (HR Muslim No: 3408).

5. Pemerintah mempunyai tanggungjawab besar untuk melaksanakan KEADILAN, KESEJAHTERAAN dan KEAMANAN negara, dan akan dipertanggungjawabkan atas AMANAH BESAR ini di Mahkamah Agung Allah SWT kelak. Manakala dalam negara Malaysia, YDPA adalah ULIL [email protected] KHALIFAH ALLAH pada peringkat tertinggi dan baginda mempunyai tanggungjawab yang sakral untuk melaksanakan keadilan dan keamanan dalam negeri mengikut IJTIHAD ULIL AMRI melalui PREROGATIF yang telah diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berprinsipkan faham kontinum, yang meletakkan Allah SWT sebagai Penguasa Agong, rujuk Perkara 181, 3, 37 (Jadual 4) dan sebagainya (Wan Ahmad Fauzi, 2020).

6. Dalam hal ini, Prerogatif berprinsipkan kontinum atau bersumberkan ajaran Islam dinamakan ijtihad ulil amri. Ijtihad ulil amri mestilah berpandukan prinsip perundangan Islam dan tidak boleh bercanggah dengan undang-undang Islam itu sendiri. Undang-undang menurut kaca mata Islam dan amalannya pada hari ini secara umum ialah hukum syarak yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah, termasuklah prinsip perundangan yang dinyatakan dengan jelas oleh dua sumber utama tersebut. Perundangan Islam pula merupakan undang-undang gubalan pihak berkuasa dalam bentuk Perlembagaan, akta, enakmen atau seumpamanya juga adat watan yang diterima pakai berdasarkan prinsip perundangan al-Quran, Sunnah, qias dan ijmak. (Wan Ahmad Fauzi 2020)

7. Manakala ahli Eksekutif, Legislatif dan Judisiari yang mengambil punca kuasa cabangan daripada YDPA adalah menjunjung Kedaulatan YDPA sebagai KETUA UTAMA NEGARA (Per 32), atau ULIL AMRI PERINGKAT TERTINGGI bagi negara Malaysia, maka WAJIB mentaati ijtihad baginda sebagai Ulil Amri terkait Perisytiharan Darurat, yang diperuntukkan kepada baginda menurut Fasal (1) Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan, setelah baginda mempertimbangkan sembah nasihat daripada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri yang turut disertai dengan sembah nasihat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

8. Suka saya peringatkan tuntutan agama terkait kewajiban semua pihak memberikan ketaatan kepada pemerintah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ (4:59) yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘ulil amri’ (orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantahan (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

Maka dalam konteks negara kita, nyata bahawa pemerintah lapis teratas adalah YDPA @ Ketua Utama Negara. Manakala semua warganegara dituntut untuk memberikan ketaatan selama mana pemerintah tidak menyuruh melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum syariat, apatah lagi apabila titah tersebut dibuat dalam batasan hukum negara melalui peruntukan Perlembagaan. Untuk melanggar hal ini merupakan pelanggaran terhadap perintah Allah swt sendiri.

9. Saya juga ingin berkongsi konsep Khalifah yang terdiri daripada lima ciri berikut sebagai panduan:
1. Pemerintah berposisi sebagai pemegang amanah.
2. Kewajipan pemerintah untuk menguatkuasakan hukum syarak.
3. Larangan melakukan kerosakan.
4. Pemerintah dipertanggungjawabkan dalam setiap tindak-tanduknya.
5. Larangan mengangkat orang-orang kafir sebagai pemerintah.
(Wan Ahmad Fauzi, 2020)

10. Akhir sekali, suka saya kongsikan di sini bahawa firman Allah SWT, sabdaan Nabi SAW dan nasihat alim ulama yang bersanad kepada Rasulullah SAW bukan hanya duduknya di dalam masjid, surau, dalam majlis ilmu, majlis zikir dan majlis maulid dan yang seumpamanya. Ia perlu dihidupkan dalam setiap nafas dan nadi kehidupan umat Islam dari peringkat bawah sehingga kepada peringkat tertinggi negara, apatah lagi jika negara tersebut jelas merujuk ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGARA (Per 3(1) Perlembagaan) yang tidak boleh diganggu-gugat hatta dalam tempuh Darurat.

Apabila seorang Ulil Amri @YDPA cuba melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah demi maslahah, menegakkan keadilan, kesejahteraan dan keamanan rakyat dan negara, mengelakkan ancaman kemudaratan yang mutakhir ini bersebab wujudnya ‘virus politikus’ yang parah sehingga urusan mentadbir rakyat dan hal ehwal negara sering terganggu, manakala YDPA berkenan mengisytihar Darurat sebagai satu cara menyikapi kegawatan negara mengikut kuasa prerogatif yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, hal ini perlu DISAMBUT DENGAN PENUH KESYUKURAN, DIDOKONG DAN DISOKONG SEPENUHNYA oleh setiap lapisan masyarakat kerana ianya menzahirkan fungsi YDPA sebagai Ulil Amri yang sedang dilaksanakan, dan bukan hanya sebagai ‘rubber stamp’ seperti yang disalah fahamkan oleh ramai pihak.

Moga Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik kepada YDPA dan Raja-Raja Melayu, memperkasakan peranan alim ulama serta pakar bidang untuk membimbing semua dalam hal mentadbir serta mengurus hal ehwal rakyat dan negara dengan adil dan saksama, sebagaimana firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum dalam kalangan manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’ 4: 58)

Amiin ya Robbal ‘alamiin.

DAULAT TUANKU!

[email protected] Hj Othman
Pengerusi
Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam (KEMUDI)

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button