Darurat dan Demokrasi Malaysia: Suara Minoriti Lebih Bagus? – Dr Kamarul Zaman Yusoff
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff mempersoalkan konsep demokrasi dan kebebasan bersuara di negara ini susulan tindakan 91 orang ahli akademik menyindir 222 pemegang ijazah PhD yang menyatakan sokongan kepada Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, semalam.
“Beginikah amalan demokrasi dan kebebasan bersuara di negara ini, apabila pihak yang mewakili majoriti rakyat dengan bilangan lebih besar bersuara dikatakan tidak bagus, tetapi bagus pula bila pihak yang mewakili minoriti rakyat yang bersuara?” ujarnya seperti dalam portal Malaysia Gazette.
Kesal dengan apa yang berlaku, Dr Kamarul Zaman menambah, kejadian ini pernah berlaku sebelum ini sewaktu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon pelaksanaan darurat kali pertama.
“Mereka mungkin terlupa bahawa bila seramai 91 ahli akademik, 39 berbangsa Melayu dan 52 berbangsa bukan-Melayu, menyatakan bantahan terhadap cadangan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 25 Oktober 2020 pihak yang sama memuji mereka.”
Atas sebab ini, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia itu melontarkan persoalan, kumpulan mana antara dua yang sebenarnya mewakili majoriti dan lebih berwibawa.
“Antara 91 ahli akademik yang sebahagiannya tidak mempunyai ijazah PhD pun, malah 8 daripadanya adalah pelajar PhD dan 2 daripadanya adalah pelajar MA sahaja, dengan 222 pemegang ijazah PhD mana yang lagi banyak dan berwibawa?”
Tambah Dr Kamarul, dia merasa hairan dengan tindakan kumpulan minoriti itu yang menentang golongan majoriti yang tidak pernah menyindir atau mempertikai tindakan mereka sebelum ini.
“Bila suara 222 pemegang ijazah PhD, yang bilangannya semakin bertambah dan berwibawa, mengapa mereka perlu disindir oleh pihak itu, sedangkan kami sendiri tidak pernah menyindir ketika 91 ahli akademik ini bersuara?”
“Mereka begitu cepat sekali menyindir apabila kumpulan 222 pemegang ijazah PhD ini menyatakan sokongan Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari 2021 memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.