“Daripada Angkat Bak Kut Teh, Baik Isytihar Sup Ekor Sebagai Makanan Kebangsaan” – Mantan Presiden ISMA
KUALA LUMPUR, 09 Jun 2023 – “Daripada kita angkat bak kut teh, baik kita isytiharkan sup ekor sebagai makanan kebangsaan… lagi sedap,” kata mantan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.
Kenyataan beliau ini adalah merujuk isu Bak Kut Teh sebagai makanan kebangsaan.
“Isu bak kut teh sepatutnya mudah sahaja untuk diputuskan. Negara sudah ada prinsip-prinsip berkenaan warisan dan kebudayaan negara, ikut sahajalah prinsip-prinsip tersebut. Negara buat prinsip, Ahli Parlimen nak langar prinsip,” katanya.
Jelas beliau, kebudayaan dan warisan sepatutnya merujuk kepada budaya dan warisan rantau Melayu dan juga merujuk kepada Islam sebagai agama Persekutuan.
BACA JUGA: Vaksin COVID-19: Kesan Sampingan ‘Kematian’ Tidak Dimasukkan Kerana Aplikasi “Terhad”
BACA JUGA: Sup Tulang Babi Sebagai Makanan Kebangsaan, Judi Sebagai Permainan Kebangsaan?
BACA JUGA: Pemuda UMNO Bakal Serah Memorandum Bantahan Kebiadapan Jocelyn Chia Perlekeh Malaysia
Untuk budaya luar, biarpun terdapat ruang untuk dimasukkan sebagai budaya kebangsaan, ia mestilah sesuai dengan budaya serta warisan tempatan, kata beliau dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.
“Isu bak kut teh ni pada saya adalah cubaan dari mereka untuk mengukuhkan naratif mereka dan akhirnya sikit demi sikit membawa kepada perubahan identiti negara. Termasuklah juga dengan pertukaran nama jalan dan sebagainya.”
“Tanpa kita sedari sebelum ini pun, perayaan wangkang yang tiada kena mengena dengan budaya rantau Melayu telah pun diangkat oleh negara ke UNESCO untuk dijadikan sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan beberapa tahun lepas. Pulau Jerjak mereka promosikan di negara luar sebagai Pulau Mazu dan mereka letak patung Dewa Mazu di situ. Sungai Batu mereka dakwa warisan India. Sampai Parameswara pun mereka pernah nafikan kemelayuannya dan mereka katakan dia orang berbangsa India. Dan selepas ini tidak tahu apa pula yang akan dicadangkan oleh mereka,” jelas beliau dalam kenyataan tersebut.
Sebelum ini, dalam satu sesi Sidang Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Batu Sapi yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Khairul Firdaus Akbar Khan menyatakan bahawa untuk memasukkan setiap jenis makanan sebagai kategori makanan warisan, makanan tersebut haruslah boleh dinikmati oleh semua kaum di negara ini.