Dapat Alat Ganti Awal Disember, Rapid KL Giat Kerja Baik Pulih
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 25 Disember 2022 – Rapid Rail Sdn. Bhd. pergiat kerja membaik pulih fasiliti selepas menerima alat ganti Fasa 1 pada awal Disember lalu.
Memetik kenyataan Rapid Rail dari sebuah portal berita tempatan, kerja-kerja membaik pulih itu melibatkan fasiliti perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di beberapa stesen rel Lembah Klang.
Proses baik pulih itu melibatkan perkhidmatan eskalator, kebocoran di stesen serta sistem pencahayaan di stesen dan lif.
“Projek naik taraf akan bermula pada suku pertama tahun 2023 dan memerlukan masa selama 18 bulan untuk disiapkan.”
“Setakat 15 Disember 2022, proses penggantian 20 unit handrail dan tiga unit step chain di 10 stesen MRT telah disiapkan dan eskalator di stesen-stesen berkenaan telah kembali beroperasi,” menurut Rapid Rail dalam sebuah kenyataan kelmarin.
Manakala bagi kebocoran di stesen, 93 lokasi telah dikenal pasti mengalami masalah tersebut dan kerja membaik pulih di 21 lokasi stesen LRT serta monorel telah pun berjaya disiapkan. Selebihnya pula akan diselesaikan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2023.
Sementelahan itu, kerja membaik pulih sistem pencahayaan di stesen telah hampir selesai yang melibatkan pembaikan sistem pendawaian dan penggantian mentol bermasalah di stesen-stesen.
Malah, ketersediaan operasi lif di stesen LRT dan MRT kini berada pada tahap 99 peratus.
Menurut Rapid Rail, projek naik taraf akan bermula pada suku pertama tahun 2023 dan memerlukan masa selama 18 bulan untuk disiapkan.